Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad terjun negara ceria pada hari terakhir saingan Grand Prix Terjun FINA apabila menambah satu emas, satu perak dan satu gangsa untuk mengumpul keseluruhan satu emas, empat perak dan tiga gangsa buat melakar kejayaan paling cemerlang sepanjang menyertai kejohanan itu yang juga sirkit terakhir musim ini di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Kejohanan selama tiga hari bermula Jumaat lalu, menyaksikan pasangan muda Nor Dhabitah Sabri dan Wendy Ng menghadiahkan emas buat skuad negara dalam acara 3 meter papan anjal seirama wanita akhir dengan mengumpul mata tertinggi 274.41 mata.

“Acara ini mengubati sedikit kekecewaan saya dalam acara 10m platform seirama sebelum ini. akhirnya saya berjaya menebus rasa kecewa itu dengan meraih emas 3m seirama bersama Wendy.

“Kami bermula baik dan tiada sebarang kesilapan pada terjunan kami. Saya amat puas hati dengan prestasi dan berharap gandingan kami akan menyerlah pada kejohanan musim depan,” katanya semalam.

Dalam acara akhir itu, Dhabitah dan Wendy mengatasi penerjun Amerika Syarikat (AS), Deidre Freeman dan Maren Taylor yang meraih perak, selepas keputusan gandingan negara, Jasmine Lai dan Kam Ling Kar dibatalkan ekoran peraturan FINA yang hanya membenarkan satu negara saja menaiki podium biarpun penerjun itu menamatkan kedudukan di tangga kedua.

Sementara itu, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong sekadar meraih pingat perak apabila mengumpul 327.84 mata dalam acara 10m platform seirama wanita akhir, selepas tewas kepada penerjun dari China, Ji Siyu dan Si Yajie, 332.70 mata. Manakala gandingan Katrina Young dan Cheyenne Cousiheau dari AS meraih gangsa.

Dalam acara 10m platform lelaki akhir pula, Ooi Tze Liang sekadar menggondol pingat gangsa selepas tewas kepada Huo Liang dari China dan Toby Stanley dari AS apabila masing-masing meraih emas dan perak.

Jurulatih negara Yang Zhuliang memuji persembahan anak didiknya yang mempamerkan terjunan terbaik sepanjang tiga hari kejohanan walaupun sebelum ini dalam dua temasya sukan terbesar dunia, Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Incheon prestasi skuad negara agak merisaukan.

“Saya begitu gembira dengan peningkatan beberapa penerjun pada kejohanan kali ini. Biarpun kebanyakan mereka sudah berada pada situasi agak memenatkan selepas mengharungi jadual pertandingan yang padat sepanjang tahun ini, ia penamat yang baik buat kami,” kata jurulatih berasal dari China itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:08 AM