FALCAO jarang dapat tempat dalam kesebelasan utama di United.
FALCAO jarang dapat tempat dalam kesebelasan utama di United.
Reuters

Bogota: Penyerang pinjaman Manchester United, Radamel Falcao membayangkan dia mungkin meninggalkan kelab itu hujung musim ini dalam usaha beraksi lebih kerap, namun menegaskan dia masih komited dengan kelab Inggeris itu.

Penyerang Colombia itu terlepas Piala Dunia tahun lalu kerana kecederaan kemudian berpindah secara pinjaman dari AS Monaco ke United yang mana dia jarang beraksi dalam pasukan utama dan menjaringkan hanya beberapa gol buat pasukan kendalian Louis van Gaal.

“Saya fikir mana-mana pemain bola sepak mahu bermain dan gembira beraksi. Saya tetap komited dengan kelab itu, masih ada lapan perlawanan (dalam Liga Perdana) dan apa saja boleh berlaku,” kata Falcao.

“Jadi apabila liga berakhir pasti saya akan duduk berbincang, melakukan analisis dan memutuskan apa yang baik buat saya,” kata pemain berusia 29 tahun itu, yang muncul penjaring prolifik bersama FC Porto, Atletico Madrid dan Monaco sebelum cedera ligamen lutut 14 bulan lalu.

“Benar saya perlu mencari tampat yang mana saya boleh terus bermain,” jelas Falcao di Bahrain dengan Colombia beraksi pada perlawanan pemanas badan menghadapi Copa America, awal pagi esok.

Colombia turut berdepan Kuwait pada perlawanan persahabatan kedua bagi jelajah Timur Tengah, Isnin ini.

Falcao menegaskan dia amat menghormati keputusan Van Gaal dan berharap ada perubahan buatnya di United sebelum musim ini berakhir.

Dia bagaimanapun mendedahkan kelab lain turut mempamerkan minat terhadapnya.

“Panggilan diterima setiap hari jadi saya perlu bertenang, tapi saya cuba menjauhkan diri daripadanya, ada orang lain yang menguruskannya buat saya,” ujarnya mengenai laporan mengaitkannya dengan pasukan lain dalam Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 9:08 AM