Swansea, Wales: Robin van Persie dijangka kembali dalam skuad Manchester UInited yang berusaha meneruskan rentetan tanpa kalah kepada lapan perlawanan dalam semua pertandingan apabila berdepan Swansea, malam ini.

Penyerang Belanda itu terlepas aksi kemenangan 3-1 United ke atas Preston pada pusingan kelima Piala FA kerana kecederaan ringan, namun pengurus Louis van Gaal mengesahkan rakan senegaranya itu dijangka cergas bagi pertemuan Liga Perdana di Stadium Liberty.

Jika Van Gaal memutuskan memanggil Van Persie, penjaring terbanyak United dengan 10 gol liga musim ini, dia dijangka menggantikan Radamel Falcao.

Penyerang Colombia itu digantikan Ashley Young selepas 60 minit pada perlawanan menentang Preston awal pagi Selasa lalu dan permainan United meningkat selepas penggantian itu dan perubahan taktikal.

Kemenangan itu bermakma United kini kalah sekali dalam 19 perlawanan dan Young berasa kejayaan akhir-akhir ini disebabkan kesatuan di bilik persalinan.

“Kelab ini memang sudah lama mempunyai semangat mengagumkan. Saya saksikannya sejak tiba di sini,” jelas Young.

“Setiap pemain dalam bilik persalinan akan bersaing dan apabila memilikinya di luar padang, anda boleh membawanya ke padang.

“Ia satu daripada kualiti yang kami miliki sebagai sebuah pasukan. Ia sukan berpasukan dan kami sering keluar dan beraksi sebagai sebuah pasukan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:09 AM