London: Louis van Gaal dilihat terdesak untuk mencari penyerang baru musim depan, tetapi jawapannya mungkin sudah ada iaitu ‘Chicarito’.

Ketika Radamel Falcao semakin tidak menentu sejak dipinjam dari Monaco sambil masa depan Robin van Persie juga belum dapat dipastikan, van Gaal perlukan seorang penyerang yang boleh membantu Wayne Rooney.

Pemain Burnley Danny Ings, bintang Real Madrid Karim Benzema serta ayam tambatan Paris Saint-Germain Edinson Cavani semuanya dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford musim depan, tetapi jawapannya kepada masalah van Gaal itu pastinya sudah ada.

Javier Hernandez membuktikan kebolehannya apabila memastikan kemenangan Real Madrid ke atas Atletico Madrid di suku akhir kedua Liga Juara-Juara awal pagi semalam.

Gayanya ketika menyambut jaringan itu amat tidak disenangi beberapa pihak, tetapi ia cukup untuk menceritakan betapa puasnya bintang Mexico itu selepas tidak menjaringkan gol di peringkat Liga Juara-Juara selama dua tahun setengah.

Ketika aksinya dibandingkan dengan Falcao di United, ramai yang beranggapan sudah tiba masanya van Gaal memanggil semula ‘Little Pea’ pulang ke Old Trafford bagi menggantikan pemain Colombia berkenaan yang dilabel satu pembaziran.

Fakta nombor menunjukkan bahawa kedua-dua pemain mengharungi jumlah perlawanan sama iaitu 25 dalam semua pertandingan. Falcao diberi lebih banyak peluang beraksi iaitu selama 1,339 minit berbanding 871 yang diharungi Hernandez, sekali gus membayangkan betapa sukarnya untuk menyelitkan diri di kalangan pemain bintang seperti Cristiano Ronaldo, Gareth Bale, Benzema dan James Rodriguez.

Ketika masanya tiba, Hernandez menggunakan sepenuhnya peluang itu dan dia menjaringkan lebih banyak gol berbanding Falcao. Begitu juga dengan ketepatan cubaan.

Real Madrid dikhabarkan tidak akan memperbaharui kontrak pinjamannya musim depan dan itulah peluang yang ada untuk van Gaal untuk kembali memanggil Hernandez menyarung jersi United. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 11:49 AM