FALCAO (kanan) jaring gol keduanya ketika menentang Strasbourg. -Foto AFP
FALCAO (kanan) jaring gol keduanya ketika menentang Strasbourg. -Foto AFP
AFP

MONACO: Penyerang Colombia, Radamel Falcao menyasarkan untuk memenuhi “impian” bermain pada Piala Dunia tahun depan selepas meneruskan rentak cemerlang bersama AS Monaco dalam Ligue 1 musim ini.

Pemain berusia 31 tahun itu meledak dua gol ketika membantu juara Perancis itu menang 3-0 ke atas Strasbourg malam tadi bagi mengumpul sembilan gol dalam enam aksi liga setakat ini musim ini.

Falcao menemui semula sentuhan terbaiknya selepas kembali ke Stade Louis II musim lalu, menjaringkan 30 gol ketika Monaco menjuarai Ligue 1 dan layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

Ia berikutan dua musim mengecewakan beraksi secara pinjaman di England, yang mana dia dianggap sebagai gagal dan menjaringkan hanya lima gol dalam 36 penampilan Liga Perdana Inggeris bersama Manchester United dan Chelsea.

Namun tempoh hambar itu dialami ketika dia bergelut mengembalikan kecergasan terbaik sesudah terlepas aksi Piala Dunia 2014 kerana kecederaan lutut serius.

Lebih menarik, penjaring gol terbanyak Colombia itu belum pernah tampil pada pusingan akhir Piala Dunia sesudah mereka gagal ke play-off 2010 dengan perbezaan hanya satu mata.

“Piala Dunia adalah impian saya,” kata Falcao.

“Saya amat bermotivasi untuk membantu Colombia layak ke Piala Dunia dan kemudian saya mahu beraksi. Saya bersedia menghadapinya.

“Saya berasa lebih bagus, lebih lagi berbanding tahun lalu.

“Sudah tentu saya fikir boleh bangkit (selepas kecederaan). Saya sering kali berfikiran positif dengan mentaliti untuk bekerja keras.”

Pasukan kendalian Jose Pekerman dilihat berada dalam kedudukan baik layak ke pusingan akhir di Russia tahun depan ketika mereka menghuni tangga ketiga kelayakan zon Amerika Selatan dan jika Falcao boleh mengekalkan persembahan cemerlangnya, dia mungkin boleh membaiki pencapaian mereka layak ke suku akhir 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 1:23 PM