Kuala Lumpur: Naib juara musim lalu UiTM Perlis mempunyai keazaman tinggi menebus dua kehambaran musim ini apabila berdepan pasukan ‘abang’ - UiTM Shah Alam - dalam saingan final bola sepak Piala Menteri Pendidikan Malaysia, esok.

UiTM Perlis gagal pertahankan kejuaraan Divisyen Satu, Jun lalu apabila dipintas Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), selepas turut kecewa dalam pemburuan Piala FA musim kedua apabila tewas kepada UiTM Shah Alam, pada April.

Sebelum itu, UiTM Perlis memulakan langkah cemerlang apabila meraih Piala Sumbangsih - perlawanan pembuka tirai Liga IPT - selepas menewaskan Universiti Multimedia (MMU) 4-1 pada Mac lalu.

“Pertemuan final ini peluang menebus kegagalan kepada UiTM Shah Alam dalam aksi final Piala FA,” kata pengendali UiTM Perlis, Manja Man.

“Saya harap kali ini rezeki kami pula. Peningkatan ketara pemain begitu jelas. Sebab saya yakin kami dapat menebus kegagalan final musim lalu kepada UKM.”

Manja berharap juara Piala Menteri ini diberi peluang automatik mewakili negara pada Sukan Universiti Asia (AUG).

“Jika itu berlaku, ia dapat memberi rangsangan tambahan kepada pemain untuk beraksi cemerlang jika AUG jadi taruhan selain trofi Piala Menteri yang dianggap ‘Piala Malaysia’ bagi penuntut IPT,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:24 AM