Kuala Lumpur: Pengarah teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen mengakui permulaan baik buat Liew Daren selepas berjaya muncul juara Cabaran Antarabangsa Terbuka Poland 2015 kelmarin.

Menurutnya, kemenangan itu memang dinantikan dan cukup bermakna bukan saja kepada Daren malah barisan kejurulatihan yang banyak membantunya.

“Kemenangan ini akan membantu meningkatkan keyakinannya, selepas dia mengakui kurang yakin sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Daren yang kali terakhir merasai nikmat kejuaraan pada Siri Super Terbuka Perancis 2012, muncul juara di Poland apabila menumpaskan Emil Holst dari Denmark 21-15, 21-11.

“Bukan mudah seseorang pemain kembali bangkit, ia perlu dilakukan langkah demi langkah,” kata bekas pemain perseorangan Denmark itu.

Ditanya mengenai Siri Super Terbuka Malaysia 2015 yang bermula minggu depan, Frost berkata, walaupun sukar wakil negara memenangi mana-mana acara, namun beliau berharap prestasi pemain mampu meningkat.

Frost juga mengakui ia bukan satu bencana jika tidak ada wakil negara dari acara perseorangan dapat melayakkan diri ke undian utama.

“Ia bukan satu bencana, tetapi buat masa sekarang prestasi kita masih di bawah, untuk pemain perseorangan mara ke undian utama, ia bergantung kepada pelbagai sudut.

“Sukar untuk mengharapkan Chong Wei Feng menyerlah kerana dia pula baru sembuh dari kecederaan. Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi,” katanya.

Ditanya mengenai kontrak dan kenaikan gaji jurulatih tempatan, Frost berkata, setakat ini beliau tidak tahu setakat mana perbincangan di peringkat pengurusan.

“Saya sudah memberikan pandangan mengenai perkara itu (kontrak jurulatih). Apa saja keputusan pihak pengurusan mereka perlu akur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 8:54 AM