Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen (gambar) ternyata berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin terutama selepas muncul juara di Siri Antarabangsa Poland 2015 minggu lalu.

Menurut Frost, mereka sentiasa mengharapkan ada pemain yang mampu untuk melonjakkan diri menghampiri kumpulan pemain utama seperti Datuk Lee Chong Wei, Chong Wei Feng dan Liew Daren.

“Kita lihat sendiri kumpulan pemain utama semakin mengecil, jadi kita memerlukan pemain baru yang mampu untuk melonjakkan dirinya menghampiri atau berada di tahap sama dengan pemain utama,” katanya baru-baru ini.

Jelasnya, Iskandar ternyata bertindak dengan cemerlang selepas diberi tanggungjawab dan mencari cabaran baru selepas diberi peluang untuk berkelana di Eropah.

“Dia melalui cabaran baru ini dengan baik sekali selepas muncul juara di Cabaran Antarabangsa Singapura Ogos lalu sekarang dia berjaya muncul juara di Poland, jadi kita tidak sabar untuk melihatnya beraksi di Grand Prix (GP) Terbuka Belanda dan Cabaran Antarabangsa Switzerland 2015 bulan depan.

“Bagaimanapun, sebelum berdepan dua kejohanan berkenaan dia akan meneruskan lagi latihan dan menetap di Eropah selama dua minggu. Saya harap dalam tempoh berkenaan dia cuba untuk mempertingkatkan dirinya sebaik mungkin,” kata bekas pemain perseorangan Denmark itu.

Frost mengakui, ini (menghantar pemain berpangkalan di Eropah) adalah jalan terbaik dengan menggunakan kos yang rendah untuk mempertingkatkan tahap permainan anak buahnya.

“Perbelanjaan sering menjadi isu, jadi melalui hubungan yang baik bersama Denmark dan kelab badminton Aarhus, ia akan membantu kita dalam mempertingkatkan prestasi pemain,” katanya yang dikenali dengan gelaran Mr Badminton.

Selepas ini, Frost akan menghantar dua lagi pasangan beregu wanita untuk berguru dan menetap bersama keluarga angkat di Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 8:41 AM