BEKAS Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost. FOTO Bernama
BEKAS Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


KUALA LUMPUR: Bekas pengarah teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hanse mengakui pemain negara sukar untuk beraksi cemerlang di Sukan Olimpik Tokyo 2020, jika dinilai berdasarkan situasi sekarang.

Menurutnya, jika ditanya soalan yang sama kepada individu lain, mereka juga akan memberi jawapan sepertinya, namun Frost mengakui apa saja boleh berlaku dalam tempoh 18 bulan.

"Kita dapat lihat apa yang berlaku di Rio 2016, di mana saya rasa kita berjaya memberikan persembahan terbaik dan bagi saya apa saja boleh berlaku.

“Sekarang memang nampak sukar (buat pemain Malaysia), tetapi apabila semakin hampir ke tahun 2020, pemain akan mula menunjukkan prestasi mereka," katanya ketika sidang media pengenalan aplikasi Pocket Spine Doc, hari ini.

 

Jelasnya, setiap pemain mempunyai peluang untuk menyinar dan meraih kejayaan di temasya berkenaan termasuk tonggak muda, jika diberi peluang.

"Ia akan lebih menarik melihat pemain muda dapat menyinar di temasya berkenaan dan bagi saya, 18 bulan adalah satu tempoh yang singkat.

“Kita tidak sabar untuk melihat pemain muda seperti Lee Zii Jia tampil sebagai pencabar di Sukan Olimpik 2020," kata legenda perseorangan lelaki Denmark itu.

Frost juga yakin dengan kemampuan Wong Choon Hann yang dilantik sebagai pengarah teknikal BAM, kerana beliau mengenali individu berkenaan sejak dari zaman pemain lagi.

"Beliau seorang yang rajin dan saya yakin jika serta tidak ragu dengan kemampuannya. Beliau bukan individu yang kerja mengikut waktu pejabat, beliau akan bekerja selama 24 jam.

"Saya yakin dengan kemampuannya, namun dalam masa sama kita juga harus sedar negara lain juga sedang bekerja keras. Pemain badminton berbakat ada di mana saja di seluruh dunia.

"Lihat seperti Carolina Marin dari Sepanyol yang menjadi pemenang pingat emas Olimpik dan juga juara dunia. Memang siapa yang bekerja keras layak untuk jadi juara, tapi ketika Olimpik, satu dunia sedang bekerja keras," kata Frost.

Ditanya mengenai pemain senior meninggalkan BAM, Frost mengakui perkara berkenaan harus dillihat daripada aspek menang-menang, iaitu memberi kelebihan kepada pemain dan juga negara.

"Tidak kisah sama ada mereka akan menyertai latihan secara bersama-sama atau berasingan, saya tidak berhak untuk membuat spekulasi atau memberi nasihat. Paling penting ia memberi keuntungan kepada semua pihak.

"Kita juga bukan hendak bercakap mengenai keadilan, paling penting ialah mencari sistem terbaik," katanya yang juga mengharapkan Datuk Lee Chong Wei mampu bangkit semula selepas proses pemulihan kanser hidung, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 8:14 PM