Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas dikritik hebat minggu lalu berikutan prestasi teruk sejak awal musim 2015, Liew Daren bangkit membuktikan dia masih relevan untuk mewakili negara.

Pemain perseorangan lelaki negara itu berjaya muncul juara Cabaran Antarabangsa Terbuka Poland 2015 apabila menumpaskan Emil Holst dari Denmark 21-15, 21-11 awal pagi semalam.

Sebelum ini Daren seakan-akan hilang arah dan pernah mengakui tidak tahu lagi bagaimana untuk bermain selepas kalah pusingan kedua Grand Prix (GP) Emas Terbuka Switzerland 2015.

“Saya gembira berjaya merangkul kejuaraan di sini (Poland) terutama mselepas tumpas di Switzerland minggu lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Daren yang diletakkan sebagai pilihan kelapan mengambil masa 34 minit untuk menumbangkan Holst.

Petanda awal dia mampu melakukan sesuatu di kejohanan itu apabila menumpaskan pilihan utama, Rasmus Fladberg juga dari Denmark 21-13, 22-20 di suku akhir.

“Kemenangan ini juga menaikkan semangat saya untuk beraksi di Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2015 minggu depan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan walaupun sebelum ini saya banyak kali mengecewakan anda. Memang ini kejohanan kecil tetapi sangat penting buat saya,” katanya dalam laman sosial, Facebook semalam.

Daren akan beraksi di pusingan kelayakan di Terbuka Malaysia minggu depan dan berkemungkinan akan menentang Mohd Arif Latif untuk mencari slot ke undian utama.

Turut cemerlang di Poland gandingan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang muncul juara selepas menumbangkan pasangan India, Akshay Dewalkar-Pradnya Garde 28-26, 21-18.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 8:18 AM