Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: “Saya harap hatinya akan kembali terbuka untuk berjuang demi pasukan negara. Itu harapan disuarakan oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk menyaksikan penyerang kebangsaan Faizal Saari kembali menyarung jersi negara.

Penyerang kontroversi berusia 22 tahun itu sebelum ini dilaporkan ‘merajuk’ dengan MHC yang gagal melunaskan janji untuk membayar bonus tertunggak menyebabkan dia mengambil keputusan enggan menyertai skuad hoki negara.

Bagaimanapun Faizal dijangka akan kembali menyertai kem negara kendalian Tai Beng Hai buat kali pertama hari ini selepas gagal menghadiri sebarang sesi latihan sejak tamat Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL) di Singapura, Januari lalu.

Dan Tengku Abdullah berharap tiada lagi ‘drama’ antara penyerang pasukan Hoki Terengganu (THT) itu dengan MHC.

“Semangat berpasukan penting tapi pemain yang mempunyai kaliber sepertinya juga mampu memberi sumbangan besar. Hanya dia menentukan sama ada mahu menyertai skuad negara. Kalau kita beri banyak sangat tekanan kepadanya, konsentrasi dia (Faizal) tidak akan tinggi dan menyebabkan dia gagal bermain dengan baik.

“Usahlah kita menambahkan lagi tekanan kepadanya, dia pun ada masalah sendiri dan pemain-pemain lain juga perlu diberi keutamaan dalam hal ini,” katanya selepas selesai Mesyuarat Agung Luar Biasa (EOGM) MHC semalam.

Penyerang kontroversi dikenali dengan panggilan The Speedy Tigers itu muncul Penjaring Terbanyak dan Pemain Terbaik Pusingan Kedua WHL di Singapura dan ramai mengharapkan kelibatnya bakal kelihatan pada sesi latihan skuad kebangsaan bermula hari ini.

Jika Faizal kembali bersama, ia pasti mencetuskan semangat kepada skuad negara menjelang kejohanan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, Perak pada 5 April ini.

Selepas kejohanan itu, anak buah pengendali sementara Beng Hai akan menjalani latihan di Eropah sebagai persiapan menghadapi cabaran sebenar pada Separuh Akhir WHL di Belgium, Jun depan bagi memburu tiket ke Sukan Olimpik Rio 2016.

“Saya memang berharap sangat satu pasukan ini dapat berlatih dengan baik kerana kita akan menghadapi Pusingan Ketiga (Separuh Akhir WHL) di Belgium nanti. Faizal dan semua pemain dapat bersatu dan meningkatkan semangat untuk maju ke hadapan kerana saya lihat peluang kita untuk beraksi (Sukan Olimpik) adalah cerah,” jelas Tengku Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 8:24 AM