Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Kegagalan penyerang utama negara Faizal Saari untuk memberikan komitmen bersama skuad kebangsaan pada sesi latihan terus menyukarkannya nasibnya dalam skuad negara.

Terbaru, pengurus skuad kebangsaan Datuk Nur Azmi Ahmad mengesahkan penyerang berusia 24 tahun itu tidak terpilih dalam senarai 21 pemain untuk menjalani latihan di Australia bermula 6 Mac.

Enggan mengulas lebih lanjut, Nur Azmi yang juga pengurus skuad negara bagaimanapun mengakui kegagalan pemain itu hadir ketika sesi latihan selepas berakhir pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Singapura bulan lalu, termasuk lima perlawanan persahabatan menentang Mesir, menjadi punca utama dia tidak terpilih.

“Tak perlu saya maklumkan lebih lanjut sebab anda sendiri pun sudah tahu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Difahamkan Faizal akan kembali menjalani latihan hari ini manakala adiknya, Fitri Saari turut tidak tersenarai ke Australia kerana masalah peribadi.

Sementara itu, ketua jurulatih sementara skuad negara Tai Beng Hai juga enggan mengulas lanjut mengenai kedudukan Faizal.

Jelas Beng Hai, fokusnya ketika ini hanya terarah kepada mempersiapkan pasukan untuk saingan Piala Sultan Azlan Shah dengan persiapan rapi di Australia.

“Kami akan mengadakan lapan perlawanan persahabatan termasuk tiga daripadanya dengan skuad kebangsaan Australia.

“Selebihnya, setiap pemain akan menjalani sesi latihan seperti biasa.

“Selain persiapan saingan Piala Sultan Azlan Shah, sesi latihan ini juga untuk persediaan menghadapi pusingan ketiga Liga Hoki Dunia pada Mei nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 7:09 AM