Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: “Tiada pemain bintang dalam pasukan sekarang. Kalau ada masalah disiplin kami tidak akan teragak-agak untuk ketepikan mereka.”

Demikian tegas pengurus pasukan skuad hoki negara Datuk Nur Azmi Ahmad kepada barisan pemain negara yang ponteng sesi latihan menjelang persiapan menghadapi saingan pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Singapura bermula 17 Januari depan.

Jelas Azmi yang juga Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), sebagai pemain profesional, mereka perlulah memberikan komitmen tinggi dalam pasukan dan tidak ‘mempermainkan’ panggilan untuk beraksi bersama skuad negara.

“Dalam skuad sekarang, kami hanya mahukan pemain yang mempamerkan disiplin, komitmen dan kerjasama yang tinggi saja dalam pasukan.

“Hukuman tidak terhad kepada menggugurkan pemain saja. Malah kami akan sentiasa memikirkan cara terbaik untuk mendisiplinkan mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Azmi mengulas laporan akhbar mengenai penyerang negara Faizal Saari yang diketepikan pada perlawanan persahabatan bertemu Poland kelmarin kerana ponteng sesi latihan.

Bagaimanapun ketua jurulatih negara, Tai Beng Hai berkata, Faizal kembali turun ke sesi latihan semalam dan memberikan alasan mengapa beliau tidak hadir pada sesi latihan sebelum ini.

“Faizal beritahu dia balik kampung menguruskan masalah keluarga yang ditimpa bencana banjir. Dia datang sesi latihan hari ini (semalam) dan berpeluang untuk diturunkan pada perlawanan kedua bertemu Poland esok (hari ini),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 6:03 AM