Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: “Saya minta maaf.”

Demikian pengakuan penyerang utama negara Faizal Saari yang mencetuskan kontroversi berikutan kegagalannya hadir ke sesi latihan skuad negara sebelum menemui jalan penyelesaian selepas bertemu pengurusan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Faizal menegaskan, dia mengaku melakukan tindakan salah tidak menghadiri sesi latihan, namun tidak adil untuk meletakkan keseluruhan kesalahan itu di bahunya.

“Saya buat benda ini (tidak hadir latihan) memang salah saya. Tapi ada juga salah di pihak MHC.

“Kalau salah itu daripada pihak saya, saya minta maaf. Harap perkara ini tidak berlaku lagi selepas ini.

“Saya harap segala yang berlaku sebelum ini tidak menjejaskan hubungan saya dengan rakan lain,” katanya semalam.

Faizal berkata, dia berjanji untuk memberikan komitmen padu dengan turun pada sesi latihan selepas ini dalam usaha merebut tempat ke pusingan ketiga Liga Hoki Dunia di Belgium pada Mei.

Sementara itu, ketua jurulatih sementara skuad negara Tai Beng Hai (gambar) menafikan pihaknya serta MHC melayan Faizal seperti anak emas apabila tetap memberi peluang kepada pemain itu kembali menjalani latihan dengan menjalani ujian kecergasan.

“Ini bukan isu anak emas. Kami cuma nak pastikan kalau dia tidak melalui proses itu (ujian kecergasan), mungkin akan mengakibatkan kecederaan.

“Segala-galanya perlu ada protokol dan tidak boleh buat sesuka hati,” katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Faizal sudah bertemu Beng Hai kelmarin dan dia diberi peluang kembali ke dalam kem negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 8:25 AM