Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih sementara skuad hoki negara Tai Beng Hai tidak menolak untuk memanggil semula penyerang utama negara Faizal Saari (gambar) dengan syarat pemain itu benar-benar berminat beraksi bersama skuad kebangsaan.

Beng Hai yang dilantik menggantikan Arul Selvaraj untuk mempersiapkan pasukan menghadapi pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Singapura pada Januari bagaimanapun berkata, beliau perlu bertanya dulu kepada Faizal kerana tidak pasti apakah sebenarnya pendirian pemain itu ketika ini.

“Saya tak pasti status dia sama ada nak berehat atau bermain semula. Perkara ini perlu tanya dia dulu.

“Demi kepentingan negara, pemain tidak sepatutnya menolak apabila dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

“Saya tidak tahu daripada segi polisinya bagaimana, tetapi mereka patut menerima panggilan itu kerana banyak perbelanjaan sudah dilaburkan untuk skuad negara,” katanya.

Faizal mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada mewakili negara selepas Piala Dunia.

Namanya tidak tersenarai pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Sementara itu, Beng Hai yang pernah membantu skuad negara memenangi pingat perak Sukan Asia 2010 berharap semua pihak menghentikan kritikan dilemparkan kepadanya serta Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berhubung isu pelantikan ketua jurulatih negara.

“Saya dilantik sementara saja bagi memastikan perjalanan skuad senior berjalan lancar, begitu juga untuk skuad remaja. Saya harap semua pihak dapat menerima keputusan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:08 AM