Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Penyerang utama negara Faizal Saari akhirnya kembali bersama skuad kebangsaan selepas terpilih dalam barisan 25 pelatih untuk menghadapi saingan pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Singapura bermula 17 Januari.

Kehadiran semula pemain berusia 23 tahun itu menjadi suntikan semangat kepada skuad negara selepas dia mengambil keputusan untuk berehat seketika sebaik berakhir Piala Dunia di The Hague, Belanda, Jun lalu.

Ketua jurulatih negara Tai Beng Hai berkata, beliau sudah beberapa kali bertemu Faizal sebelum pemain itu mengambil keputusan untuk kembali.

“Dia memang mahu beraksi semula, peluang harus diberikan kepadanya. Sebelum inipun dia mahu berehat, bukannya ada masalah lain,” katanya pada sidang media semalam.

Bagaimanapun jelas Beng Hai, tiada layanan istimewa untuk Faizal terpilih dalam 18 pemain terakhir yang akan menggalas tugas di Singapura.

Katanya, pemilihan akan dilakukan pada sesi latihan termasuk tiga perlawanan persahabatan dengan dengan Poland serta Bangladesh.

Beng Hai turut mengumumkan Stephen Van Huizen menjadi pembantunya sementara Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Nur Azmi Ahmad bertindak selaku pengurus pasukan.

Sementara itu, Azmi berkata, tindakan tegas akan dikenakan kepada pemain yang gagal menghadiri sesi latihan kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 6:39 AM