ANTARA puluhan ribu rakyat Singapura yang hadir untuk menyaksikan perarakan keranda bekas perdana menteri republik itu.
ANTARA puluhan ribu rakyat Singapura yang hadir untuk menyaksikan perarakan keranda bekas perdana menteri republik itu.
KERANDA Kuan Yew di arah dari bangunan Parlimen dan melintasi mercu tanda republik itu sebelum dibawa ke Pusat Kebudayaan Universiti Nasional Singapura.
KERANDA Kuan Yew di arah dari bangunan Parlimen dan melintasi mercu tanda republik itu sebelum dibawa ke Pusat Kebudayaan Universiti Nasional Singapura.
Agensi

Singapura: Rakyat republik ini semalam mengucapkan selamat jalan kepada bekas perdana menteri pertama mereka Lee Kuan Yew dengan perarakan besar-besaran dan upacara pengebumian negara selama tiga jam.

Berucap pada majlis berkenaan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin, anak mendiang yang juga perdana menteri sekarang, Lee Hsien Loong memuji negarawan itu dan berkata, negara pulau yang kaya yang Kuan Yew bantu bina itu dengan secara tidak langsung menjadi monumen bekas pemimpin itu.

Tanpa menghiraukan hujan lebat, puluhan ribu rakyat Singapura berbaris sepanjang 15 kilometer untuk melihat perarakan pengebumian itu.

Keranda yang membawa mayat Kuan Yew ditutup dengan bendera merah putih Singapura dan dilindungi daripada hujan dengan penutup kaca, diletakkan di atas pedati meriam yang biasa digunakan untuk upacara khas.

Ia kemudian ditarik merentasi mercu tanda republik berkenaan, dari bangunan Parlimen ke sebuah pusat budaya, tempat acara pengebumian negara itu diadakan.

Di sepanjang jalan berkenaan, orang ramai melaungkan nama Lee Kuan Yew dan merakam gambar dengan telefon pintar. Ada juga yang mengibarkan bendera Singapura. Tembakan meriam penghormatan juga dilepaskan ketika jet pejuang tentera udara Singapura terbang melintasi ruang udara republik itu.

“Kepada mereka yang mencari tugu Lee Kuan Yew, rakyat Singapura boleh dengan bangga berkata: Lihat sekitar anda,” kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong ketika berucap di majlis pengebumian itu yang dihadiri lebih 2,000 orang, termasuk kanak-kanak sekolah, orang kenamaan tempatan, pemimpin dunia dan kerabat diraja.

Ketika upacara hampir tamat, siren pertahanan awam dibunyikan di seluruh negara sebagai tanda permulaan bertafakur selamat seminit.

Kereta api dan bas juga berhenti bergerak untuk memberi penghormatan terakhir kepada Kuan Yew, orang yang dianggap bertanggungjawab membina Singapura moden.

Dalam pada itu, ribuan orang juga berkumpul di sebuah pusat pembakaran mayat, tempat upacara bakar mayat mendiang diadakan secara tertutup pada sebelah petang.

Sepanjang tempoh perkabungan selama seminggu yang bermula selepas kematian Kuan Yew pada usia 91 tahun Isnin lalu, kira-kira 450,000 orang berbaris, ada yang sehingga lapan jam, untuk memberi penghormatan terakhir seketika kepada mendiang di bangunan Parlimen.

Kira-kira sejuta lagi memberi penghormatan terakhir mereka di pusat komuniti di seluruh republik itu.

Lee menjadi perdana menteri Singapura selama lebih tiga dekad, memerintah dengan tegas sehingga 1990.

“Dia melakukan apa saja untuk kami rakyat Singapura, tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama. Pelajaran, rumah, apa saja yang anda boleh fikir,” kata guru Jennie Yeo yang tiba jam 7 pagi untuk membolehkannya berada di barisan depan bagi menyaksikan perarakan pengebumian itu.

Pemimpin dan orang kenamaan lebih 20 negara hadir semalam.

Delegasi Amerika Syarikat diketuai oleh bekas Presiden Bill Clinton. Pemimpin lain yang hadir termasuk Perdana Menteri India, Jepun dan Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2015 @ 5:21 AM