NGGOTA sukarelawan mengagih makanan kepada gelandangan.
NGGOTA sukarelawan mengagih makanan kepada gelandangan.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Menjejak gelandangan untuk diagih makanan dan minuman sekitar jam 12 malam mungkin dianggap kerja gila bagi segelintir orang.

Begitupun, reaksi sedemikian bukanlah perkara baru. Setiap kali berlangsungnya program membabitkan gelandangan, pasti ada suara sinis memperlekeh usaha puak aktivis.

Ramai berpendapat bahawa kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) terlalu memanjakan gelandangan hinggakan kelompok terbabit dihujani kesenangan tanpa usaha lebih.

Hakikatnya, memang ramai gelandangan tersepit di tengah kota raya Kuala Lumpur. Ada yang datang dari ceruk kampung tapi ditipu individu tertentu, ada juga yang sudah mendapat kerja tapi tak mampu menyewa bilik sendiri.

Pendek kata, tidak semua gelandangan di ibu kota sengaja mengambil kesempatan atas budi baik orang lain.

Mereka juga punya maruah untuk dijaga walaupun tidak ada upaya untuk menikmati kehidupan selesa.

Atas kesedaran itulah, Kelab Kebajikan Nur Insaniah Selangor turun padang mengagihkan makanan dan minuman bersih.

Kata Pengurus Operasinya, Md Zamri Sadarom, kelab itu memang memfokuskan golongan miskin luar bandar dan gelandangan terbiar di tengah kota.

"Kita sudah bermula (melakukan kerja kebajikan) sejak 2013. Hasil usaha tekun seluruh ahli kelab, kita berjaya mendaftar dan bergerak secara rasmi pada Januari lalu.

"Sasaran utama kita adalah untuk menjadi 'tongkat' sementara kepada golongan gelandangan dan orang miskin supaya mereka tidak terus tersungkur dalam hidup," katanya.

Jelas Md Zamri, pihaknya sedia maklum bahawa gelandangan di kota terbahagi kepada tiga kategori berlainan.

"Ada gelandangan yang hidup merempat kerana masalah gila. Ada juga yang berstatus penagih dadah.

"Namun yang paling kita bimbang adalah orang yang berhijrah dari luar bandar untuk mengubah nasib mereka di Kuala Lumpur.

"Golongan ini kita anggap sebagai gelandangan sementara yang mempunyai potensi untuk berjaya dalam hidup. Sekiranya dibantu, mereka mungkin boleh terlepas daripada kelompok berkenaan," katanya ketika mengetuai Program Jejak Gelandangan di sekitar ibu kota, Sabtu lalu.

Malam itu, sebanyak 200 pek makanan berisi dua ketul ayam goreng, nasi dan sebotol air mineral diagihkan 13 sukarelawan kepada gelandangan di sekitar Lebuh Ampang, Masjid Jamek, Jalan Tun Perak dan Jalan Hang Lekiu.

Penulis turut simpati ketika menatap wajah gelandangan yang lena di kaki lima kedai. Dalam sejuk selepas hujan, mereka meringkuk lena beralaskan kotak, berselimutkan surat khabar.

Sebaik pek makanan diletakkan di sisi, ada yang bingkas bangun membuka bungkusan dan makan semahunya.

"Ini adalah program bulanan Kelab Kebajikan Nur Insaniah Selangor. Alhamdulillah, dalam tempoh dua tahun ini, kita melihat banyak kesan positif.

"Antaranya, ada gelandangan yang kita bantu hingga mendapat pekerjaan dan dia akhirnya menjadi salah seorang anggota sukarelawan kelab untuk berbakti kepada orang memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 3:21 AM