FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Prof Madya Dr Azri Bhari

Pada tahun ini, Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2023M pada 1 Muharam 1445H bersamaan 19 Julai lalu diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini iaitu 'Perpaduan Teras Malaysia Madani' menjadi manifestasi daripada inti pati ajaran Nabi SAW dan signifikan kepada masyarakat Islam termasuk masyarakat bukan Islam di Malaysia.

Awal Muharam atau Maal Hijrah suatu hari yang penting bagi masyarakat Islam kerana menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi SAW dari kota Makkah ke Madinah pada 622 Masihi.

Perisitiwa hijrah turut merakamkan kisah Nabi SAW mempersaudarakan penduduk dari kota Makkah yang dikenali sebagai golongan Muhajirin dan penduduk Madinah pula dikenali sebagai golongan Ansar. Ibrah peristiwa ini menunjukkan asas bagi kedamaian masyarakat adalah perpaduan sesama anggota.

Menurut bahasa, kata 'hijrah' berasal dari bahasa Arab yang bermaksud berpindah tempat atau keadaan atau sifat. Makna lain adalah memutuskan hubungan antara dirinya dengan sesuatu atau juga sebagai keadaan yang memaksa orang untuk berpindah atau meninggalkan pekerjaan yang tidak baik atau merugikan.

Sementara menurut istilah pula bermaksud perpindahan Nabi SAW dan sahabat baginda dari Makkah ke Madinah dengan tujuan menyelamatkan diri daripada ancaman orang kafir dan musyrik menuju ke kota yang aman serta penuh keimanan.

Kesan hijrah itu menyebabkan Nabi SAW dapat meneruskan dakwah dan menyebarkan Islam dalam situasi yang lebih kondusif. Peristiwa ni menjadikan hijrah sebagai tonggak sejarah baharu dalam perkembangan agama Islam di dunia.

Perlu ditegaskan bahawa niat berhijrah adalah untuk meninggalkan keburukan atau keadaan yang bertentangan dengan al-Quran dan hadis perlu ideal dan selari semata-mata kerana mengharapkan rahmat daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman, orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Baqarah: 218)

Terdapat pelbagai hikmah dan kelebihan melakukan hijrah dalam kehidupan seperti yang dijelaskan dan dijanjikan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang boleh dijadikan motivasi dan semangat.

Pertama, jaminan rezeki, tempat yang luas dan pahala daripada Allah SWT. Sesuatu yang lebih baik sama ada di dunia mahu pun di akhirat akan diperoleh oleh golongan yang berhijrah tanpa perlu risau dan bimbang.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Sesiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Nisa: 100)

Ibn Kathir dalam kitabnya Tafsir al-Quran al-Azim mentafsirkan bahawa ini adalah galakan dan saranan supaya berhijrah di samping menjarakkan daripada musuh Allah dalam kalangan musyrikin dan orang yang beriman di mana sahaja berada sudah pasti memperoleh tempat perlindungan.

Kedua, penghapusan dosa dan dimasukkan ke dalam syurga. Pengorbanan yang dilakukan kerana berhijrah meninggalkan golongan kafir untuk bersama golongan beriman demi kebaikan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya) dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya serta yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agama-Ku dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam) serta yang terbunuh (gugur syahid dalam perang sabil) - sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan mereka dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai sebagai pahala daripada sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)." (Surah Ali Imran: 195)

Ibn Jarir al-Tabari dalam kitabnya Tafsir al-Tabari mentafsirkan bahawa ayat di atas menyatakan golongan yang berhijrah daripada kaumnya dalam kalangan orang kafir semata-mata kerana Allah menuju kepada saudaranya dalam kalangan orang beriman dan dikeluarkan daripada kampung halaman, maka Allah janjikan balasan di sisi-Nya.

Selain itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui." (Surah an-Nahl: 41)

Ibn Jarir mentafsirkan ayat di atas bahawa golongan yang berpisah dengan kaumnya dan meninggalkan tanah watan kerana permusuhan semata-mata kerana Allah nescaya akan ditempatkan Allah di dunia yang mereka reda dengannya.

Ketiga, ganjaran syurga sekiranya mati dalam keadaan hijrah. Ganjaran dan rezeki yang besar dan berlipat ganda dijanjikan kepada golongan yang berhijrah sehingga terkorban nyawa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan orang yang berhijrah di jalan Allah, kemudian mereka terbunuh atau mati, benar-benar Allah akan memberikan kepada mereka rezeki yang baik (syurga). Dan sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki." (Surah al-Hajj: 58)

Ibn Jarir mentafsirkan ayat di atas bahawa golongan yang berhijrah meninggalkan tanah watan dan keluarga semata-mata mencari keredaan Allah, mentaati-Nya dan menentang musuh-Nya. Kemudian mati terbunuh nescaya Allah rezekikan mereka pada hari kiamat dengan syurga dan rezeki yang baik atau pahala yang banyak.

Keempat, dikurniakan darjat atau kedudukan yang lebih besar dan tinggi di sisi Allah SWT. Golongan yang berhijrah dijanjikan oleh Allah SWT darjat yang lebih tinggi berbanding golongan memberi minum orang mengerjakan haji.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "(Sesungguhnya) orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang yang hanya memberi minum orang haji dan mereka yang hanya memakmurkan masjid) dan mereka itulah orang yang berjaya. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripada-Nya dan keredaan serta syurga, mereka beroleh di dalam syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisi-Nya pahala yang besar." (Surah at-Taubah: 20-22)

Ibn Jarir dalam kitabnya Tafsir al-Tabari mentafsirkan bahawa orang yang beriman membenarkan dengan tauhidnya. Berhijrah dan berjihad menentang orang musyrikin pada agama Allah dengan harta benda dan jiwa mereka. Itulah sebesar-besar darjat dan setinggi-tinggi kedudukan berbanding pemberi minum bakal haji, pemakmur Masjidil Haram daripada kalangan musyrikin.

Demikianlah, jelas hijrah menunjukkan pelbagai hikmah dan kelebihan yang tiada tandingan dan bandingan. Pengorbanan perkara asas dalam hijrah yang telah dibuktikan oleh Nabi SAW dan sahabat.

Allah SWT turut mensyariatkan prinsip berkorban melalui harta dan tanah air demi mempertahankan akidah dan agama. Berdasarkan pengorbanan itu, sebenarnya umat Islam telah memelihara harta, negara dan kehidupan walaupun kelihatan pada awalnya kehilangan segala-galanya.

Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 6:00 AM