BEBERAPA bot yang rosak di Port Vila, ibu negara Vanuatu selepas puting beliung Pam membadai negara pulau itu.
BEBERAPA bot yang rosak di Port Vila, ibu negara Vanuatu selepas puting beliung Pam membadai negara pulau itu.

Suva (Fiji): Kerajaan Vanuatu semalam mengisytiharkan darurat selepas negara pulau itu terjejas teruk setelah dibadai puting beliung.

Kerajaan juga merayu bantuan antarabangsa ekoran laporan menyatakan beberapa kampung musnah sama sekali dalam kejadian berkenaan.

Sehingga semalam, jumlah kematian rasmi kekal enam orang.

Bagaimanapun, laporan yang belum dapat disahkan berkata, 44 penduduk sebuah kampung terbunuh setelah puting beliung Pam membadai negara itu.

Laporan lain menyatakan, 90 peratus rumah di Port Vila, ibu negara Vanuatu, rosak selepas angin selaju 320 kilometer sejam melanda negara berkenaan malam kelmarin.

Menurut kerajaan, skala kemusnahan masih belum diketahui kerana ia masih menanti laporan daripada beberapa pulau lain.

Jurucakap Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Alice Clements berkata: “Keadaan ketika ini amat teruk. Penduduk tidak mempunyai air minum. Bekalan elektrik terputus. Mereka perlukan bantuan.”

Presiden Baldwin Lonsdale ketika bercakap kepada perwakilan di satu persidangan PBB Tokyo, merayu rayuan antarabangsa untuk membantu rakyat negaranya.

Sementara itu, Tuvalu, negara kecil yang berjiran dengan Vanuatu juga mengalami kerosakan teruk, kesan daripada puting beliung Pam.

Negara yang terdiri daripada sembilan pulau itu dengan populasi kurang daripada 11,000 orang kini bergelut menghadapi kemusnahan yang berlaku, kata Perdana Menteri Enele Sopoaga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 5:20 AM