Yusmizal Dolah Aling

Petaling Jaya: Malaysia bakal berdepan fenomena cuaca baharu termasuk cuaca ekstrem jika kesan pemanasan global dan pencemaran alam sekitar terus berlaku di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Jailan Simon berkata, dalam tempoh 20 tahun lalu, terdapat beberapa fenomena cuaca jarang berlaku sebelum ini.

Beliau berkata, puting beliung kecil, belalai air, ribut petir luar biasa kuat dan gelombang haba adalah keadaan baharu yang melanda disebabkan peningkatan suhu.

Menurutnya, belalai air misalnya, hanya dikesan berlaku pada 1990-an dan semakin kerap dikesan kebelakangan ini di perairan negara manakala puting beliung berskala kecil turut dikesan berlaku di negara kita.

"Dulu kita pernah menafikan berlakunya puting beliung di Malaysia kerana Semenanjung Malaysia adalah kecil dan kemungkinan pertemuan antara udara panas dan sejuk bagi menghasilkan puting beliung adalah tipis.

"Sekarang ini kita terima banyak aduan serta gambar dan video berlakunya puting beliung seperti kejadian di Yan, Kedah beberapa waktu dulu.

"Saya turun melihat keadaan itu dan kesannya memang teruk menyebabkan kemusnahan kepada rumah dan membahayakan nyawa," katanya kepada Harian Metro.

Jailan Simon di Pejabat Meteorologi Malaysia, Petaling Jaya. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Jailan Simon di Pejabat Meteorologi Malaysia, Petaling Jaya. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Jailan berkata, cuaca ekstrem boleh memberi kesan kepada kehidupan akibat perubahan suhu dan iklim.

Beliau berkata, fenomena itu sebelum ini hanya dilaporkan di luar negara, namun Malaysia kali ini sudah tersenarai sebagai negara terkesan.

Justeru, katanya, masyarakat diseru untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau dalam kegiatan harian.

"Pemanasan global turut menyebabkan paras air laut meningkat dan menyebabkan penerobosan air masin dan limpahan air laut ke kawasan darat.

"Oleh sebab itu, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sering mengadakan kempen bagi mengurangkan penggunaan gas rumah hijau seperti penjimatan penggunaan elektrik, petrol dan menggalakkan penggunaan kenderaan awam.

"KASA turut mengadakan kempen bagi menjaga kebersihan alam sekitar seperti mengelakkan penggunaan plastik sekali guna, pembakaran terbuka selain memastikan sungai dan sumber air negara bersih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 6:48 PM