Anggota bomba memadam kebakaran bengkel perabot awal pagi tadi. Foto ihsan bomba
Anggota bomba memadam kebakaran bengkel perabot awal pagi tadi. Foto ihsan bomba
Oleh Naqiukamil Abdullah

Banting: Sebuah bengkel membuat perabot musnah dalam kebakaran di Jalan Sekolah Bukit Changgang, Banting, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sebelum ke lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting Mohd Jaslizad Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.32 pagi dan anggota bomba dari dua balai bomba dikerahkan ke lokasi kejadian .

"Jentera bomba dari dua balai iaitu Banting dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke lokasi kejadian dan api dapat dikawal pada 3.50 pagi.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi tamat pada 4.40 pagi. Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 4:47 PM