Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Meskipun selesa dengan bekalan tiga gol, UniKL Young Guns tidak mahu memandang mudah cabaran daripada Nur Insafi apabila kedua-dua pasukan bertemu pada suku akhir kedua Piala Milo di Stadium Hoki Majlis Perbandaran Sungai Petani, hari ini.

UniKL dilihat agak bergelut dengan prestasi pada penghujung saingan liga lalu dan rentak sumbang itu terus menghantui mereka apabila bertemu Nur Insafi pada perlawanan suku akhir pertama kelmarin selepas memperoleh banyak peluang terhidang tetapi hanya mampu meledak tiga gol.

Pengurus pasukan Mohd Faiz Isa berkata, skuad bimbingan I Vikneswaran itu perlu menampilkan persembahan berbeza apabila turun pada perlawanan timbal balik hari ini sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir.

“Bagi saya, kelebihan tiga jaringan itu sudah agak selesa tetapi kami tidak boleh menganggap peluang ke separuh akhir sudah hampir pasti.

“Ini kerana, pihak lawan masih berpeluang untuk menewaskan kami. Dalam sukan hoki apa saja boleh berlaku.

“Kami akan cuba mempamerkan aksi lebih baik dan berharap pemain dapat menyempurnakan segala peluang terhidang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:06 AM