Beng Hai (dua dari kiri) memberikan kata semangat kepada anak buahnya selepas  sesi latihan ringan.
Beng Hai (dua dari kiri) memberikan kata semangat kepada anak buahnya selepas sesi latihan ringan.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Cabaran sebenar skuad negara pada pusingan kedua Liga Hoki Dunia hanya bermula hari ini apabila bertemu Jepun pada separuh akhir di Stadium Hoki Sengkang.

Selepas ‘puas’ membelasah lawan dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan serta menumbangkan Mexico 10-1 pada suku akhir, skuad bimbingan Tai Beng Hai tidak boleh menganggap ‘layanan’ Jepun sama seperti perlawanan sebelum ini.

Dibarisi ramai pemain berkualiti, Jepun kerap memberikan masalah kepada skuad negara sejak akhir-akhir ini hasil sentuhan jurulatih Korea Selatan Kang Keon Wook yang pernah beraksi pada pentas tertinggi termasuk Sukan Olimpik.

Justeru, Beng Hai yang menyedari kemampuan Jepun memberi amaran kepada anak buahnya agar tidak memandang mudah perlawanan hari ini, sebaliknya cuba memanfaatkan sebaik-baiknya setiap peluang terhidang.

“Yang saya tahu Jepun sentiasa mempamerkan aksi kemas dan mempunyai tahap permainan yang baik.

“Beraksi di separuh akhir agak berbeza. Corak permainan perlu lebih terbuka dan pada masa sama kena memastikan lawan tidak dapat membolosi benteng dengan mudah.

“Yang penting kena manfaatkan setiap peluang yang ada,” katanya.

Kali terakhir skuad negara bertemu Jepun pada pentas Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan yang menyaksikan Malaysia menang 4-1.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:24 AM