PEMAIN UNIKL, Firdaus Mohd Anour (kanan) mengasak pemain SSTMI Juniors, Muhammad Fikri      di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
PEMAIN UNIKL, Firdaus Mohd Anour (kanan) mengasak pemain SSTMI Juniors, Muhammad Fikri di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih UniKL Young Guns I Vikneswaran berang dengan prestasi barisan pemainnya selepas menyaksikan naib juara Liga Hoki Remaja Malaysia musim lalu itu sekadar seri 2-2 dengan pasukan tercorot Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI Juniors) pada saingan Divisyen Satu semalam.

Jelas Vikneswaran, mereka sepatutnya boleh menang dengan mudah, namun sikap mengambil mudah pihak lawan menyebabkan UniKL hampir dikejutkan oleh SSTMI.

“Sebenarnya kami boleh tewaskan pasukan lawan tapi sikap pemain yang terlalu memandang remeh dan menganggap boleh mencatat kemenangan mudah, menyebabkan kami gagal meraih tiga mata penuh.

“Mereka bermain sambil lewa dan corak permainan juga agak lembap. Inilah hakikat sebenar yang berlaku pada perlawanan hari ini (semalam).

“Jadi bagi saya, keputusan ini adil untuk kami kerana pemain sendiri tidak bersungguh-sungguh untuk mencari tiga mata penuh,” katanya selepas tamat perlawanan semalam di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Dua gol UniKl dijaringkan Wan Haziq Hisyamuddin Wan Ameer Ruzman (m-13) dan Muhammad Zul Yadain Kasman (m-28) manakala gol SSTMI disumbangkan Muhammad Badrul Amin Mohamad (m-16) dan Muhammad Fikri Amer Runnizar (m-60).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 6:44 AM