Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Kem pasukan Terengganu ceria apabila pemain pertahanan kental Mohd Zubir Mohd Azmi pulih daripada kecederaan lutut dialami sejak dua minggu lalu dan boleh diturunkan bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Pertahanan kiri kebangsaan itu yang sebelum ini tidak diturunkan bertemu Melaka United dalam saingan Piala FA, Sabtu lalu mengaku bagaikan tidak sabar untuk beraksi.

“Kini saya pulih sepenuhnya, tetapi terpulang kepada jurulatih Abdul Rahman Ibrahim sama ada ingin menyenaraikan saya atau sebaliknya.

“Namun jika boleh saya mahu beraksi selepas direhatkan ketika bertemu Melaka United, apatah lagi di depan penyokong sendiri,” kata pemain dari Kampung Telaga Papan, Setiu itu.

Zubir, 24, berkata, faktor ingin membantu pasukan untuk mencatat kemenangan membuatkan dia bertekad untuk beraksi.

“Pemain perlu mengambil kesempatan beraksi di laman sendiri untuk mencatat kemenangan ketiga dan andai direhatkan, saya percaya pemain lain di posisi pertahanan kiri mampu melaksanakan peranan dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2015 @ 4:37 AM