Singapura: Pemain pertahanan Harimau Malaya Muhammad Zubir Azmi (gambar) mahu segera melupakan detik kekecewaan tumpas kepada Thailand kelmarin dan bangkit mengatasi pasukan tuan rumah Singapura pada aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF 2014 esok.

Malaysia meletakkan diri mereka dalam situasi sukar apabila kalah kepada pendahulu kumpulan Thailand di Stadium Jalan Besar meskipun mendahului dua kali dalam permainan.

Malah lebih sukar diterima anak buah Dollah Salleh apabila jaringan kemenangan juara tiga kali kejohanan itu menerusi Adisak Kraisorn dilakukan pada minit ke-90.

“Memang kecewa kerana kami bermain baik cuma ada satu ketika kami sedikit hilang fokus dan Thailand menghukum kami,” kata Zubir.

Zubir, 23, yang beraksi di posisi pertahanan kiri masih berharap dapat diberikan kepercayaan oleh Dollah untuk perlawanan terakhir menentang juara bertahan Singapura di Stadium Nasional bagi mencari tempat ke separuh akhir.

“Kami perlu segera memperbaiki kelemahan. Kami masih ada peluang untuk layak. Ramai pemain Singapura kami kenal kerana mereka bermain dalam Liga Malaysia, jadi kami akan memberikan aksi terbaik nanti,” katanya yang menerima kad kuning dalam perlawanan kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 6:01 AM