Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pemain sayap kiri Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Azniee Taib (gambar kanan) menganggap persembahannya mula meningkat hasil kerja keras dan dorongan rakan sepasukan selain tunjuk ajar ketua jurulatih Mario Gomez.

Katanya, walaupun jarang diturunkan dalam kesebelasan utama namun, dia perlu berada di tahap permainan terbaik seandai mahu beraksi sejak minit pertama.

Malah, ketika diturunkan pada aksi menentang Terengganu kelmarin, Azniee yang sinomin dengan panggilan Edy dalam kalangan rakan sepasukan berjaya mengucar-ngacirkan benteng pertahanan skuad kendalian Mike Mulvey sebelum diganti dengan Safiq Rahim pada minit ke-75.

“Sejak menyertai Johor DT, saya berusaha untuk berada di tahap permainan terbaik dan apa jua arahan taktikal ketua jurulatih (Mario Gomez) saya sentiasa beri tumpuan bagi memastikan perancangan dalam permainan tidak terjejas.

“Tidak timbul masalah rakan sepasukan memahami corak permainan saya memandangkan pada 2013 saya sudah bersama Johor DT dan kebanyakan pemain mengenali cara saya beraksi.

“Apa yang penting kami beraksi secara sepasukan dan sentiasa membantu antara satu sama lain kerana jika beraksi secara individu kemungkinan apa yang dihajati iaitu kemenangan 2-0 menewaskan Terengganu tidak akan tercapai,” katanya.

Azniee juga menyifatkan Gomez kerap memperbaiki kesilapan ketika latihan dan sentiasa memberi teguran jika melakukan kesilapan dan ia penting untuk meningkatkan lagi kualiti permainan.

Dia juga tidak menafikan keinginan untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaysia di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee sambil mengakui tekanan tetap ada tatkala bersama Johor DT malah berharap sokongan padu rakan sepasukan untuk sama-sama menaikkan skuad Harimau Selatan.

“Jika boleh, saya ingin beraksi untuk skuad kebangsaan namun, perlu lebih bersedia terlebih dahulu malah saya akui kemenangan ke atas Terengganu meningkatkan lagi moral saya dan rakan sepasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 5:10 AM