AKSI penjaga gol TFC, Muhammad Ilham Amirullah  Razali  menyelamatkan gawang  daripada ditembusi pemain Perak di Stadium Ipoh.
AKSI penjaga gol TFC, Muhammad Ilham Amirullah Razali menyelamatkan gawang daripada ditembusi pemain Perak di Stadium Ipoh.
Malik Muhamad


WALAUPUN cetek pengalaman beraksi dalam saingan Liga Super, pertahanan muda Terengganu FC (TFC), Muhammad Mohd Fauzi menyatakan dia sudah bersedia memikul tugas lebih besar di benteng tengah pasukan.

Malah bekas pemain Terengganu FC II (TFC II) berusia 23 tahun itu mengakui dia kini lebih tenang berbanding aksi sebelum ini selepas diberi kepercayaan beraksi lebih lama ketika bertemu Perak Selasa lalu.

"Peluang saya tunggu selama ini untuk bermain membantu pasukan akhirnya tiba jua walaupun sebagai pemain gantian. Ini perlawanan pertama saya dalam Liga Super musim ini yang paling lama saya beraksi.

“Insya-Allah, jika saya diberi peluang sekali lagi bermain untuk aksi seterusnya, saya akan beraksi sebaik mungkin untuk membantu pasukan mencatat kemenangan terutama bertemu Kuala Lumpur pada Rabu ni," ujar pemain yang lebih mesra dipanggil Mad.

Pada aksi bertemu skuad The Bos Gaurus itu, Muhammad yang dimasukkan menggantikan Wan Ahmad Amirzafran pada pertengahan babak pertama berjaya mencuri tumpuan selepas bergandingan baik dengan pemain import, Thierry Chantha Bin.

Malah ketiadaan pemain import baru dari Brazil, Luis Gustavo Camilo yang masih belum tiba dari negaranya membuka peluang kepada bekas pertahanan tengah skuad Harimau Muda itu yang pernah menimba ilmu di Queensland, Australia mempamerkan belangnya.

Bagaimanapun, bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang, Kuala Terengganu berketinggian 1.80 meter itu mengakui terkilan kerana gagal membantu pasukannya mencatat sekurang-kurangnya seri ketika bertemu juara Piala Malaysia musim lalu itu.

"Pada babak pertama selepas dimasukkan sebagai pemain gantian aksi saya belum 'panas' lagi. Alhamdulilah pada babak kedua saya mula rasa tenang dan boleh bermain dengan baik menyekat serangan pasukan lawan," ujar Muhammad yang mengidam untuk menyarung jersi skuad kebangsaan mengikut jejak rakan sepasukannya, Syazwan Andik ketika berada dalam skuad Harimau Muda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 9:42 PM