Oleh Aziman Rosdi


Shah Alam: Kehadiran pertahanan Muhammad Zubir Azmi dan Mahali Jasuli kurang mendapat perhatian dalam skuad Harimau Malaya tapi sumbangan mereka cukup besar dalam kempen Piala AFF 2014.

Dua pemain ini ibarat ‘wira tak didendang’ dalam skuad kendalian Dollah Salleh itu meskipun mereka adalah pelengkap keampuhan benteng pertahan di bahagian kiri dan kanan.

Khidmat Zubir dan Mahali sekali lagi ditagih pada pertemuan getir separuh akhir pertama Piala AFF menentang Vietnam di Stadium Shah Alam malam ini.

Bagi Zubir, 23, dia tidak kisah dirinya tidak mendapat publisiti meluas berbanding pemain lain dalam pasukan kerana fokus utamanya adalah untuk membantu kemenangan pasukan setiap kali beraksi.

“Ini adalah tanggungjawab, soal publisiti bukan keutamaan bagi saya. Kadang kala tanpa tumpuan yang banyak, kurang tekanan kepada saya,” kata pemain Terengganu itu kepada Arena Metro semalam.

Zubir bekas pemain Harimau Muda sedar bahagian pertahanan Harimau Malaya perlu berwaspada dengan jentera serangan Vietnam yang kini sudah meledak lapan gol.

Malah dia yang bakal diberikan tugas mengawal ketat pergerakan pemain Thanh Hien Nguyen selepas Vu Minh Tuan di gantung perlawanan mengakui pasukan pelawat itu cukup bahaya apabila bergerak di bahagian sayap.

“Mereka memiliki pemain yang pantas dan cukup bahaya terutama di bahagian sayap. Kami perlu lebih bersedia,” katanya.

Sementara itu tonggak pertahanan kanan Mahali, 25, yang menjadi tonggak kejayaan negara pada 2010 pula perlu lebih agresif untuk mengekang pergerakan pemain sayap Luong Thanh Pham.

Dan pakar sepakan percuma itu berharap mampu memberikan aksi terbaik bagi memastikan Harimau Malaya mendapat bekalan selesa menjelang aksi timbal balik di Hanoi pada 11 Disember.

“Kita pernah mengalahkan mereka di separuh akhir pada 2010, tapi kita kena melupakan sejarah itu. Saya percaya mereka mahu membalas dendam dan kami perlu memastikan ia tidak berlaku di gelanggang sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 5:01 AM