Baitumaqdis: Selepas perang selama 50 hari musim panas lalu, penduduk Yahudi mempertikaikan keputusan Tel Aviv membenarkan anak perempuan pegawai kanan Hamas mendapat rawatan di sebuah hospital di Israel.

Rawatan kepada anak Ismail Haniyeh itu mencetuskan perdebatan sama ada ia wajar diberi kepada pemimpin musuh ketat rejim Zionis.

Pengulas di stesen Radio Tentera Avishai Ivri antara yang paling lantang mengkritik keputusan itu.

Butiran rawatan diberikan itu tidak didedahkan, namun Hospital Ichilov mengesahkan anak Ismail dirawat selama beberapa hari awal bulan ini.

Bagaimanapun, tidak semua penduduk Yahudi mengecam rawatan diberikan kerana menganggap perbuatan itu sesuai dengan etika perubatan.

Ahli Parlimen pembangkang dan bekas jurucakap tentera Israel, Nachman Shai berkata, tindakan itu tidak salah.

“Pada saya, Israel memegang nilai-nilai murninya sendiri termasuk membantu sesiapa yang memerlukan walaupun ia hanya untuk mengubah persepsi luar.

“Pada saya memang ia wajar,” katanya.

Mejar Jeneral Yoav Mordechai yang bertanggungjawab terhadap pergerakan keluar masuk penduduk Gaza berkata, Israel tidak pilih kasih apabila berdepan isu membabitkan orang awam.

Penduduk Palestin dan kumpulan hak asasi manusia mendakwa, Israel menggunakan bantuan perubatan dan permit perjalanan untuk politik serta mendapatkan maklumat rahsia.

Pegawai kanan Hamas di Gaza, Ahmed Yousef berkata, Ismail tiada pilihan selain membawa anaknya ke Israel.

“Kesihatan anaknya meruncing dan sempadan Gaza ditutup Mesir.

“Jika anda berdepan maut dan musuh menjadi satu-satunya harapan untuk hidup, sudah pasti anda membuat perkara sama,” katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:04 AM