KANAK-KANAK perempuan Palestin mencari barangan di runtuhan bangunan di Khan Yunis, selatan Gaza. FOTO AFP
KANAK-KANAK perempuan Palestin mencari barangan di runtuhan bangunan di Khan Yunis, selatan Gaza. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Ribuan rakyat Israel termasuk menteri kanan dan sekutu Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berhimpun di sini, semalam, bagi menggesa penubuhan semula penempatan Yahudi di Semenanjung Gaza.

Menteri Keselamatan, Itamar Ben-Gvir berkata, Israel perlu menggalakkan penghijrahan sukarela rakyat Palestin dari Gaza, mengulangi kenyataan lampau yang mendapat teguran tajam daripada sekutu rapat Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa yang lebih luas.

"Jika kita tidak mahu (peristiwa) 7 Oktober lagi, kita perlu... mengawal wilayah itu," katanya.

Sementara itu, ketua peneroka Yahudi, Daniella Weiss berkata, perhimpunan semalam itu bertujuan memberi tekanan kepada kerajaan untuk kembali ke Semenanjung Gaza dan menubuhkan komuniti dengan segera.

"Orang Arab tidak akan tinggal di Gaza.

"Bukan Hamas, bukan penyokong Hamas dan mereka yang tidak menyokong Hamas, tidak mahu kekal," katanya.

Beberapa peserta perhimpunan membawa senjata api, manakala di luar pusat konvensyen, penjual menjual baju-T yang tertera, "Gaza sebahagian daripada tanah Israel".

Penceramah pada perhimpunan itu dihadiri ahli parti Netanyahu dan beberapa menteri lain, bagi menggesa perdana menteri untuk merealisasikan impian mereka.

Ada yang menyokong pengusiran penduduk Palestin di Gaza dan mengisytiharkan penempatan adalah satu-satunya cara untuk memastikan keselamatan bagi warga Israel.

"Perjanjian Oslo sudah mati, rakyat Israel hidup," laung orang ramai merujuk kepada perjanjian penting Israel-Palestin pada 1990-an yang memberi rakyat Palestin dengan pemerintahan sendiri.

Sebelum ini, Netanyahu dalam kenyataan rasmi menolak penempatan semula di wilayah Palestin itu.

Israel merampas Semenanjung Gaza pada 1967, semasa perang yang turut menyaksikannya menawan Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Dianggarkan lebih 400,000 rakyat Israel kini tinggal di penempatan di Tebing Barat yang dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa bersama kira-kira tiga juta rakyat Palestin.

Israel secara unilateral mengundurkan tentera dan warganya dari Gaza pada 2005.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 11:02 AM