Oleh Ramlah Zainal


Konsert solo bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) tahun ini bukan saja mengimbas perjalanan seninya dari dulu hingga kini, tetapi turut melakar sejarah tersendiri dalam lipatan karier Raja Pop Datuk Jamal Abdillah.

Konsert istimewa yang bakal berlangsung pada 28 dan 29 Mac ini di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC juga antara impian anak seni kelahiran Teluk Intan, Perak ini untuk melengkapkan legasinya sebagai penghibur bertaraf legenda di negara ini.

Jamal ketika dihubungi berkata, dia sangat teruja untuk menjayakan konsert berkenaan yang juga kolaborasi pertama kalinya dengan MPO pentas seni bertaraf antarabangsa itu.

“Buat masa ini, persiapan rapi giat dijalankan bagi memastikan yang terbaik buat peminat menjelang konsert yang bakal berlangsung hujung bulan ini.

“Apa yang penting, saya pastikan persiapan dari segi mental dan fizikal kerana ingin memastikan persembahan membabitkan lima segmen itu akan diingati peminat dalam bidang muzik tempatan,” katanya.

Walaupun sudah bertaraf legenda dan pernah beraksi selama lapan tahun dengan iringan orkestra, Jamal tetap tidak dapat menyembunyikan perasaan gementar untuk beraksi di pentas bersama barisan pemuzik MPO yang bertaraf antarabangsa itu.

“Setakat ini, persiapan sudah siap sebanyak 50 peratus dan sesi latihan bersama orkestra akan bermula pada 23 Mac nanti. Sebagai penyanyi, inilah peluang terbaik untuk saya membuktikan keupayaan sebenar sebagai penghibur versatil di pentas seni bertaraf antarabangsa,” katanya.

Bakal meraikan ulang tahun ke-17, konsert dengan Jamal adalah kolaborasi terbaru MPO dengan nama besar dalam bidang seni tanah air selepas Datuk Siti Nurhaliza, Tan Sri SM Salim, Datuk Sheila Majid dan Datuk M Nasir.

Penyanyi hebat ini juga bakal menghiburkan peminatnya menerusi rangkaian 20 lagu popular termasuk secara medley pada konsert bersama MPO yang bakal dipimpin Konduktor Residen, Ciaran McAuley.

Antaranya ialah Kekasih Awal Dan Akhir, Penghujung Rindu, Derita Cinta, Samrah Mentari, Keluhan Perantau, Azura dan medley lagu-lagu P Ramlee seperti Putus Sudah Kasih Sayang, Hujan Di Tengahari dan Tunggu Sekejap.

Konsert berlangsung selama dua hari akan bermula pada jam 8.30 malam (28 Mac) dan 3 petang (29 Mac). Tiket-tket berharga RM180, RM280, RM380 dan RM400.

Maklumat lanjut mengenai tiket sila layari laman web www.mpo.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 11:11 AM