S ATAN. FOTO Rohanis Shukri
S ATAN. FOTO Rohanis Shukri
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Saya terpaksa cari makan. Sekarang mereka (usahawan produk) adalah bos dan kita cari makan," kata komposer terkenal S Atan mengenai fenomena pengeluar produk aktif menyanyi walaupun tanpa bakat.

S Atan berkata, berbanding dulu, komposer mempunyai kuasa dan kelebihan untuk memberikan lagu kepada penyanyi berkualiti, namun keadaan sekarang sudah berbeza.

"Sesiapa sahaja boleh mempunyai lagu sekarang. Walaupun bertentangan dengan prinsip saya dulu, tapi kena ingat kita cari makan.

"Saya tak boleh menafikan perkara ini. Sekarang zaman 'music tune'. Misalnya suara tak bagus pun, 'music tune' boleh baguskan nyanyian dia. Orang pun tahu dia menyanyi macam mana. Bila dia menyanyi 'live', hancur. Memang mereka ini tak digalakkan menyanyi 'live'," katanya yang ditemui pada sidang media konsert Cahaya Aidilfitri – A Tribute to S Atan di Menara Berkembar Petronas, di sini.

Komposer yang sudah menghasilkan ratusan lagu-lagu popular sejak era 1980-an antaranya nyanyian Datuk Sharifah Aini, Datuk Sudirman, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Sheila Majid dan Jay Jay ini berkata, dia juga tidak menolak sekiranya ditawarkan menghasilkan lagu-lagu untuk nyanyian penyanyi generasi baharu.

"Saya tak kisah bagi lagu sekiranya kena dengan harga yang berpatutan. Saya baru saja menghasilkan lagu raya nyanyian duet Kelly Azman dan Ismaliza Ismail berjudul Nikmat Di Hari Raya.

"Sebelum ini pun saya pernah menghasilkan lagu raya untuk pereka fesyen Ezuwan Ismail berjudul Rindu Lebaran," katanya.

Sementara itu, konsert Cahaya Aidilfitri – A Tribute to S Atan diadakan sebagai penghormatan kepada S Atan sebagai komposer legenda tanah air.

Konsert yang dipimpin konduktor Ahmad Muriz Che Rose ini akan berlangsung pada 14 Mei ini jam 8.30 malam di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Konsert bertemakan Aidilfitri yang julung kali diadakan ini akan menyaksikan kebolehan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) untuk mempersembahkan muzik dari pelbagai genre, daripada karya orkestra klasik kepada muzik filem, pop, jazz dan kontemporari.

Konsert ini juga akan disertai artis-artis legenda Malaysia seperti Datuk Jamal Abdillah, Jay Jay dan Azlina Aziz.

Mereka akan bergandingan bahu bersama MPO untuk membawa penonton menyusuri memori dengan mempersembahkan nyanyian mereka yang indah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 3:41 PM