DARI kiri, Jay Jay, Azlina, S Atan dan Jamal pada persembahan penutup.
DARI kiri, Jay Jay, Azlina, S Atan dan Jamal pada persembahan penutup.
Ridzuan Abdul Rahman


USIK-MENGUSIK dan seterusnya mendendangkan lagu raya malar segar yang penuh nostalgia terhadap kita setiap kali tibanya Aidilfitri.

Begitulah kemeriahan Konsert Cahaya Aidilfitri - A Tribute to S Atan yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC, baru-baru ini.

Pastinya konsert yang julung kali diadakan sebagai penghormatan kepada komposer legenda, S Atan mencipta sejuta kenangan manis buat peminat yang hadir memenuhi setiap ruang lokasi berprestij ini.

Konsert berdurasi satu jam dengan persembahan keseluruhan 11 lagu bagaikan tidak cukup buat penonton terhibur dengan alunan rangkaian lagu raya nyanyian tiga penyanyi nama besar iaitu Datuk Jamal Abdillah, Jay Jay dan Azlina Aziz.

Malah, muzik iringan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) yang diketuai Ahmad Muriz Che Rose dengan 90 pemuzik membuai perasaan penonton sehingga tidak terasa konsert itu sudah hampir ke penghujung.

Menerusi persembahan malam itu, ketiga-tiga penyanyi terbabit memperlihatkan kualiti vokal tersendiri yang membuatkan penonton terpegun.

Jamal dengan lantunan suaranya yang lantang dan lemak merdu mengalunkan lagu raya popularnya Salam Aidilfitri.

Jay Jay pula yang diberikan tanggungjawab menyanyikan lagu Cahaya Aidilfitri, nyanyian asal Black Dog Bone berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik.

Paling mengujakan apabila Azlina yang dikenali sebagai penyanyi pop berjaya menyanyikan Hari Mulia berentak jazz yang dihasilkan S Atan untuk penyanyi bergelar ratu jazz, Datuk Sheila Majid.

Biarpun berpengalaman menyanyi di depan peminat, Jay Jay mengakui masih dibayangi perasaan gementar. Ditambah lagi ia persembahan pertama di pentas besar selepas dua tahun tidak beraksi akibat pandemik Covid-19.

Azlina pula kelihatan sangat santai berinteraksi dengan penonton. Malah celoteh dan usikannya terhadap Jay Jay berjaya membuatkan penonton ketawa.

Jamal Abdillah yang kurang bercakap dan lebih fokus pada nyanyian tidak terlepas menerima usikan Azlina.

Antara lagu-lagu yang dihidangkan pada malam terbabit ialah medley Selamat Hari Raya, Bila Takbir Bergema, Bersabarlah Sayang & Aidilfitri, Salam Aidilfitri (Jamal Abdillah), Cahaya Aidilfitri (Jay Jay), Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Jay Jay) dan Hari Mulia (Azlina Aziz).

Tidak ketinggalan ialah lagu Inang Aidilfitri (Azlina Aziz & Jay Jay), medley Suara Takbir, Aidilfitri Hari Mulia, Pulanglah & Balik Kampung), Indahnya Beraya Di Desa (Azlina Aziz), Joget Hari Raya (Azlina Aziz & Jamal Abdillah), Menjelang Hari Raya (Datuk Jamal Abdillah) dan Balik Kampung (Jay Jay).

Menariknya, kebanyakan penonton 'sporting' dengan tema konsert apabila hadir berpakaian baju Melayu dan berbaju kurung.

Malah mereka turut sama menyanyi mengiringi persembahan artis terutamanya untuk lagu Balik Kampung yang menjadi penutup persembahan.

Tidak keterlaluan rasanya pujian syabas dan tahniah buat DFP yang kali pertama mengangkat karya lagu raya dalam acarq mereka.

Antara yang hadir ke konsert ini adalah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Datuk M Nasir dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 6:44 AM