Aina Abdul
Aina Abdul
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Debaran penyanyi Aina Abdul beraksi di pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas (DFP) buat kali pertama berakhir semalam apabila berjaya memberikan satu persembahan yang cukup memukau dan luar biasa.

Persembahan Aina yang diiringi 60 pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MP0) di bawah pimpinan konduktor Ahmad Muriz Che Rose mencipta satu kenangan manis buat dirinya dan peminat.

Aina berkata, sejak dilamar MPO untuk menjayakan persembahan sulung itu dia sentiasa gementar dan teruja.

"Inilah hari yang saya sangat nantikan. Sejak mula dlamar oleh MPO, saya menantikan hari ini (semalam) dengan penuh debaran.

"Namun, dalam gementar itu ada rasa teruja untuk menghiburkan peminat di atas pentas berprestij ini kerana pentas ini adalah idaman buat ramai penyanyi tempatan," katanya.

Konsert Aina Abdul Bersama MPO yang berlangsung selama dua jam menyerlahkan sisi berbeza penyanyi berusia 31 tahun itu apabila kali ini persembahan yang dibawakan lebih menumpukan keindahan suaranya yang lunak merdu.

Lebih istimewa, Aina yang menjadi satu instrumen vokal berjaya melengkapkan instrumen lain yang membantu menghasilkan muzik terbaik dalam persembahannya.

Jika sebelum ini peminat sering disajikan dengan kelantangan vokalnya sewaktu beraksi di pentas, tapi kali ini Aina membawa penonton 'berkhayal' dengan keasyikan lagu lagu seperti Kejam, Bilang,Sedal, Sepi, Semalam, Kamu, Shadow, Puas Sudah dan Terus Hidup.

Konsert Aina Abdul Bersama MPO akan berlangsung selama dua hari bermula semalam dan sekali gus bakal mencatat satu sejarah baharu buat pemilik suara bernama Nurul Aina Abdul Gani.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2024 @ 2:43 PM