Pemain T-Team  Mohd Nor Hakim Hassan (kiri) pada aksi Piala FA menentang ATM di Stadium Sultan Ismail.
Pemain T-Team Mohd Nor Hakim Hassan (kiri) pada aksi Piala FA menentang ATM di Stadium Sultan Ismail.
Oleh Abdul Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Reputasi pendahulu Liga Perdana Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II) sedikitpun tidak menggerunkan barisan T-Team sebaliknya pemain The Titans sudah bersedia melebur rekod tanpa kalah pasukan dari selatan itu pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.

Jurulatih T-Team Tomislav Steinbruckner berkata, anak buahnya sudah mempamerkan kebangkitan dan bersedia memusnahkan impian lawan yang hadir dengan misi melakar kemenangan keempat berturut-turut.

“Pemain T-Team semakin yakin terutama selepas mengatasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan Piala FA. Saya percaya jika corak sama dipamerkan pemain, kami mampu mengutip tiga mata apatah lagi beraksi di laman sendiri.

“Selain itu, semua pemain bebas daripada kecederaan dan kecergasan mereka berada pada tahap terbaik. Perkembangan ini memberi isyarat tiada laluan mudah buat pelawat sebaliknya T-Team bakal tampil penuh bersemangat,” katanya.

Steinbruckner berkata, kemampuan penyerang dari Uzbekistan, Farhod Tadjiyev yang sudah mula menemui sentuhan semakin menggembirakan kem pasukan yang terus mengharapkan pemain berusia 28 tahun itu terus merobek gawang lawan.

“Selain penyerang import itu, kemampuan pemain tempatan turut tidak boleh dipertikaikan kerana mereka tunjang kekuatan pasukan dan ditambah dua lagi pemain tengah import, Sadriddin Abdulalev dan pemain pertahanan dari Nigeria, David Oniaya,” katanya yang mengaku semakin lega dengan peningkatan pasukan.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Yugoslovia itu mengingatkan pemain supaya tidak terlalu yakin kerana lawan juga mempunyai strategi untuk menundukkan The Titans.

“Keserasian dipamerkan pemain semakin menyerlah dan sekiranya pemain mengambil peluang menghasilkan jaringan kita mampu mencatat kemenangan pertama liga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 10:07 AM