Oleh Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Karier penyerang T-Team Syamshahril Ghulam bagaikan mati hidup semula apabila kembali diserapkan ke pasukan itu untuk mengharungi Liga Perdana, musim ini.

Ini kerana selepas digugurkan daripada pasukan Terengganu pada 2011, pemain itu bekerja di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan hanya beraksi dalam kejohanan antara universiti.

Begitupun, aksinya berjaya memikat pengurusan The Titans ketika mewakili pasukan Piala Emas Raja-Raja Terengganu musim lalu.

Lebih mengejutkan apabila pemain itu mendapat perhatian pengendali T-Team Tomislav Steinbruckner untuk bergandingan bersama pemain import kelahiran Uzbekistan, Farhod Tadjiev sekalipun memiliki penyerang berpengalaman, Ramzul Zahini Adenan.

Pengendali kelahiran Croatia itu berkata, pasukannya bertuah kerana memiliki pemain tempatan berbakat dan mampu memberikan kelebihan kepada The Titans.

Beliau mengakui lebih berminat dengan corak permainan dipamerkan Syamshahril dan percaya pemain itu calon sesuai untuk bergandingan dengan Farhod.

“Saya tidak nafikan permainan Syamshahril begitu menarik perhatian sejak pertama kali mengendalikan pasukan ini.

“Seorang lagi pemain muda yang bakal menjadi taruhan pasukan ini ialah pertahanan kiri skuad Piala Presiden, Mohd Arif Fadzilah Abu Bakar.

“Saya rasakan kedua-dua pemain ini bakal menyerlah sekali gus memperkuatkan pasukan musim ini,” katanya.

Bekas jurulatih pasukan kebangsaan remaja Croatia itu berkata, pasukannya akan mengadakan siri perlawanan persahabatan dengan dua pasukan Liga FAM, AirAsia FC, hari ini dan kelab dari Pahang, Real Mulia FC, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 8:08 AM