Oleh Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas melebur rekod tanpa kalah Johor Darul Ta’zim (JDT) II, T-Team kini berhajat mencalar reputasi pendahulu Liga Perdana Negeri Sembilan (NS) Matrix di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban malam ini.

Berbekalkan semangat tinggi itu, pemain T-Team juga menaruh harapan untuk pulang dengan tiga mata dari gelanggang keramat lawan.

Ketua Pegawai Operasi T-Team Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, tahap keyakinan mereka semakin meninggi selepas kemenangan pertama itu dengan perkembangan berkenaan dilihat sesuatu yang positif.

Selain itu, beliau turut gembira kerana prestasi keseluruhan pemain yang menunjukkan peningkatan dan berharap aksi bertenaga dipamerkan itu akan lebih konsisten ketika bertemu skuad kendalian K Devan.

“Selain itu motivasi dan moral tinggi pemain akan menjadi faktor kebangkitan kami untuk melonjak ke kedudukan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Tomislav Steinbruckner gembira dengan semangat melawan tinggi pemainnya.

“Bagaimanapun, semangat saja belum cukup untuk menundukkan lawan sebaliknya permainan kemas dan tersusun perlu dipamerkan jika mahu menang,” katanya yang mengharapkan penyerang utama Farhod Tadjiyev terus menemui sentuhan jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 10:28 AM