Kuala Lumpur: FELDA United perlu menang tiga dan seri sekali daripada baki empat perlawanan jika mahu memenuhi hajat menduduki tempat ketiga Liga Super musim ini.

Itu congakan ketua jurulatih Irfan Bakti dalam misi yang dianggapnya getir tetapi tidak mustahil.

FELDA berdepan PDRM, Terengganu, Pahang dan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) bagi melengkapkan jadual musim ini. Ia bukan perlawanan mudah terutama Johor DT dan Pahang yang sedang menerajui liga.

“Agak mustahil untuk mengejar Johor DT dan Pahang di tempat pertama dan kedua. Tempat ketiga lebih realistik untuk kami kerana saingan masih terbuka untuk kedudukan itu. Tapi kami tidak boleh tercicir mata kerana Selangor, Terengganu, LionsXII dan PDRM juga masih mempunyai peluang sama rata.

“Cabaran menanti FELDA sangat besar. Pahang dan JDT sedang bersaing untuk menjadi juara, jadi sudah tentu mereka akan bermati-matian bila menentang kami kelak. PDRM dan Terengganu pula akan cuba menyaingi untuk merebut tempat ketiga. Terengganu kini sedang berada pada prestasi terbaik sejak bertukar jurulatih,” ujarnya.

Tapi bagi Irfan tiada istilah mustahil selagi ada ruang dan peluang. Oleh itu beliau meletakkan pertemuan dengan PDRM di Stadium Shah Alam malam ini sebagai agenda penting bagi mencapai misi itu.

“Perlawanan ini penting dalam merintis misi kami itu. Terus terang, saya sasarkan tiga mata kerana seri atau kalah akan menyukarkan impian kami untuk menduduki tempat ketiga.

“Namun peningkatan PDRM amat memberangsangkan selepas dua kemenangan berturut-turut. Kami perlu berwaspada dengan corak permainan mereka terutama pemain import, Ali (Ashfaq), (Dramane) Traore dan (Mohamadou) Sumareh yang boleh memberi ancaman besar.

“Begitupun, saya yakin jika pemain mengekalkan prestasi seperti pertemuan dengan Perak, kemenangan yang dicari bukanlah sukar. Saya lega kerana walaupun jadual perlawanan sangat ketat tapi pemain saya bebas daripada kecederaan. Kecuali Thiago (Augusto Fernandes), semua pemain cergas untuk menghadapi PDRM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 8:20 AM