Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Selangor wajib melakar kemenangan seandainya mahu memastikan kedudukan ketiga mampu dikekalkan sehingga saingan Liga Super, berakhir Sabtu ini.

Kegagalan menumbangkan Kelantan di Stadium Shah Alam malam ini, akan memberikan kesukaran kepada anak buah Mehmet Durakovic kerana ada kemungkinan mereka menamatkan saingan di kedudukan lebih teruk.

Pasukan yang menduduki tempat ketiga hingga ketujuh membabitkan Selangor (33 mata), FELDA United, Terengganu, PDRM (32 mata) dan LionsXII (30 mata) hanya terpisah tipis, sekali gus membuka peluang terhadap kemungkinan berlakunya perubahan kedudukan.

“Ia umpama perlawanan hidup mati, kami tidak mempunyai pilihan lain selain mengutip tiga mata. Ini juga perlawanan terakhir di laman sendiri dan kami mahukan kemenangan.

“Kami sudah tidak mampu mengejar kedudukan pertama dan kedua liga, apa yang terdaya mendapatkan kedudukan ketiga iaitu kedudukan tertinggi boleh dicapai,” kata kapten Selangor Shahrom Abd Kalam (gambar).

Tugas Selangor bagaimanapun tidak mudah apabila lawan kendalian Zahasmi Ismail berada pada tahap terbaik selepas menumbangkan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) 4-1 minggu lalu.

“Kelantan sememangnya mempunyai pemain yang baik musim ini cuma nasib mungkin menyebabkan mereka terumbang-ambing musim ini.

“Kami tidak boleh pandang rendah mereka terutamanya selepas menewaskan Johor DT. Bagaimanapun fokus kami adalah persiapan pasukan sendiri dan bukannya lawan,” kata pertahanan tengah itu.

Selepas menentang Kelantan malam ini, Selangor akan menamatkan saingan Liga Super menentang Perak di Ipoh, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 9:32 AM