AZMAN (kanan) optimis PDRM mampu teruskan rentak kemenangan.
AZMAN (kanan) optimis PDRM mampu teruskan rentak kemenangan.
Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Berbekal jolokan pembunuh gergasi berikutan kejayaan menumbangkan dua pasukan pilihan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan Kelantan pada saingan Liga Super, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menanam tekad meneruskan rentak cemerlang itu apabila berdepan Selangor, Sabtu ini.

Bakal beraksi di Stadium Shah Alam yang juga gelanggang keramat gergasi Merah Kuning, pengendali PDRM Azman Adnan mengingatkan anak buahnya tidak leka kerana Selangor kini kembali bangkit terutama selepas kejayaan menundukkan FELDA United pada aksi Piala FA.

“Aksi Sabtu ini cukup sukar bagi kami. Bukan mudah bermain di depan penyokong Selangor yang fanatik. Kejayaan tewaskan FELDA minggu lalu pasti menaikkan lagi semangat dan motivasi pemain.

“Untuk itu, pemain saya perlu berkerja lebih keras jika mahu meraih tiga mata. Apapun, saya percaya pertembungan itu pasti menarik,” katanya.

Azman berkata, sentuhan pemusnah dua awang import diketuai Ashfaq Ali dan Dramane Traore sekali lagi bakal menjadi pertaruhan The Cops merobek gawang tuan rumah yang dijangka dikawal Norazlan Razali di pintu gol.

“Alhamdulillah, barisan penyerang kami berfungsi cukup baik. Namun begitu, perlu diingat kami tidak hanya bergantung kepada individu semata-mata.

“Kami bermain sebagai satu pasukan dan saya mahu disiplin seperti itu diteruskan ketika menentang Selangor,” katanya.

Mengulas lanjut rekod pertemuan kedua-dua pasukan yang lebih memihak kepada pasukannya dalam aksi Piala Malaysia, Azman menyifatkan itu bukan kelebihan bagi anak didiknya.

Skuad Sang Saka Biru memiliki rekod lebih baik ke atas Selangor musim lalu, dengan PDRM menang 2-0 pada aksi pertama sebelum diikat 1-1 aksi kedua saingan Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 9:35 AM