PEGAWAI MARDI memberikan penerangan kepada peserta.
PEGAWAI MARDI memberikan penerangan kepada peserta.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Inisiatif Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menganjurkan Program Green Shoots dan Tani Warriors (GSTW) memberi impak besar menggalakkan minat generasi muda terhadap bidang pertanian.

Dengan bayaran serendah RM10, setiap peserta berpeluang mengikuti pel­bagai aktiviti menyeronokkan.

Pegawai Perhubungan Awam MARDI, Mohamad Aizat Mohd Zawawi berkata, program itu bagi memupuk minat kanak-kanak dan remaja terhadap bidang pertanian berteknologi tinggi.

"Ia bagi membina persepsi kanak-kanak dan remaja bahawa bidang pertanian boleh membawa kerjaya berprospek dan menjana kekayaan selain menyalurkan daya kreativiti dan inovasi," katanya.

Menurutnya, GSTW adalah program pembelajaran yang disusun MARDI dalam suasana menyeronokkan.

"Ia adalah usaha me­ngubah minda kanak-kanak dan remaja terhadap bidang pertanian.

"Program GSTW menggunakan konsep asas 1T3K iaitu teknologi, kemahiran, kepimpinan dan keusahawanan," katanya.

GSTW dibahagikan kepada dua penyertaan iaitu Bagi Program School of Green Shoots (GS) dibuka kepada kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun, manakala Program Tani Warriors (TW) menyasarkan remaja berusia 13 hingga 16 tahun.

Modul kursus membabit­kan teknologi tanaman, teknologi ternakan, teknologi pemprosesan makanan dan 'Soft Skill'.

Kaedah kursus meng­gunakan konsep santai, ­permainan dan penerokaan pertanian di lapangan, kuiz menguji minda yang me­nyeronokkan, perbincangan dan perkongsian idea dan pengalaman.

Kursus sehari itu diadakan di ibu pejabat MARDI dan stesen terpilih.

"Semasa di ibu pejabat MARDI, Serdang peserta berpeluang melawat Plot Tanaman, Pusat Penyelidikan Lepas Tuai dan Laman Herba," katanya.

Kursus Horticulture Run katanya membabit­kan aktiviti mengajar peserta menanam sayur dan pokok.

"Peserta diberi peluang menanam biji benih sayur bayam dan sawi.

"Mereka juga diberi peluang belajar memindahkan anak pokok kailan dari polibeg ke bekas semaian," katanya.

Setiap sesi katanya boleh menempatkan antara 25 hingga 30 peserta dalam satu-satu masa.

"Bagi tujuan pembelajaran, peserta akan disediakan tenaga pengajar dalaman MARDI membabitkan pegawai terlatih.

"Mereka juga didedahkan kepel­bagaian herba dan khasiatnya seperti mas cotek, belalai gajah, pegaga dan serai wangi di Laman Herba," katanya.

Peserta juga diberi tugasan mengenali nama saintifik herba dan sayur.

"Mereka diajar mengenali anatomi pokok berkenaan dari akar hingga pucuk pokok," katanya.

Pusat Penyelidikan ­Lepas Tuai katanya memberi ­peluang kepada peserta ­me­ngenal pokok buah-buahan.

Kursus GS lain membabitkan amali pemprosesan bebola daging dan daging burger, pembuatan biskut, pemprosesan membuat jus bunga raya, jeli dan aiskrim.

Tani Warrior pula membabitkan penyertaan seramai 449 peserta.

"Pada tahun 2015, pelbagai program dirancang untuk GSTW," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:03 AM