Fazrik Kamarudin


PESERTA kursus pemilihan Unit Tindakan Khas (UTK) yang terbabit dengan serangan strok haba, Khamis minggu lalu akan kembali menyambung kursus berkenaan di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri, Muar.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada kebenaran daripada doktor yang merawat mereka ketika dimasukkan ke hospital tempoh hari.

Komandan Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa, Superintendan Osman Mamat berkata, peserta yang disahkan sihat boleh meneruskan kursus berkenaan.

"Kursus pemilihan UTK itu akan diteruskan, ia adalah satu kursus yang berperingkat, peringkat seterusnya akan diadakan di Bakri, Muar.

"Peserta yang tidak terbabit dalam serangan strok haba akan kembali melapor diri di Maktab Teknik PDRM.

"Sementara yang terbabit dalam insiden tempoh hari, perlu mendapatkan pengesahan daripada doktor," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, seorang daripada peserta kursus yang enggan dikenali berkata, dia dan semua rakan sekursus yang dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang sudah dibenarkan keluar dari wad.

"Saya keluar pada Sabtu, dua hari selepas kejadian, rakan-rakan yang lain juga sudah keluar dari hospital," katanya ringkas.

Seorang waris mangsa pula memaklumkan, anaknya akan kembali menyertai kursus itu dan dikehendaki untuk melaporkan diri di Muar, Johor pada Sabtu ini.

Minggu lalu, seramai 61 daripada 85 peserta kursus pemilihan UTK dikejarkan ke hospital selepas diserang strok haba ketika menjalani latihan di PULAPOL Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu.

Semua mereka dikejarkan dengan ambulans ke beberapa hospital sekitar Selangor serta Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan kecemasan.

Berita berkaitan:

61 pelatih PULAPOL diserang strok haba

Pelatih PULAPOL dah boleh keluar hospital

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 11:35 AM