PENDUDUK berusaha menyelamatkan barangan mereka dari rumah yang hampir musnah.
PENDUDUK berusaha menyelamatkan barangan mereka dari rumah yang hampir musnah.
Agensi

Kabul: Lebih 230 penduduk dilaporkan maut dalam beberapa kejadian salji runtuh yang berpunca daripada salji tebal melanda Afghanistan sejak beberapa hari lalu, kata pegawai semalam.

Jumlah korban dijangka terus meningkat selepas pasukan penyelamat masih berusaha untuk sampai ke beberapa kampung terpencil yang terjejas.

Laluan ke beberapa kampung di timur laut negara itu masih terputus sejak beberapa hari lalu akibat cuaca buruk melampau.

Jentera berat kini dibawa ke wilayah berkenaan untuk membantu membersihkan jalan raya yang dilitupi salji setebal lebih satu meter.

Beberapa helikopter tentera digunakan untuk mengagihkan makanan, selimut, ubatan dan barangan keperluan lain kepada penduduk kampung yang terputus hubungan.

Timbalan ketua Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan, Mohammad Aslam Syas berkata, seramai 186 penduduk disahkan mati dalam bencana itu di Panjshir, wilayah paling teruk terjejas.

Presiden Afghanistan Ashraf Ghani membatalkan lawatannya ke Iran untuk bersama-sama rakyat dan membantu usaha pemulihan.

“Saya tidak boleh tinggalkan rakyat dan rumah saya dalam keadaan seperti ini,” katanya dengan penuh emosi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Mohammad Daim Kakar memberitahu, angka korban akibat bencana berkenaan di seluruh negara meningkat hampir 250 orang.

Menurutnya, seramai 35 orang terbunuh di wilayah Badakhshan, manakala wilayah Parwan dan Nuristan masing-masing mencatatkan 15 dan 11 korban.

Cuaca buruk menyebabkan 21 daripada 34 wilayah di Afghanistan terjejas dengan lebih 1,000 rumah musnah atau rosak.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberitahu, cuaca sejuk melampau dijangka terus melanda negara itu selama beberapa hari lagi.

Afghanistan antara negara yang mundur selepas melalui beberapa peperangan sejak ditakluk Kesatuan Soviet pada 1979.

Bagaimanapun, bencana alam seperti tanah runtuh, banjir dan runtuhan salji turut memberi kesan kepada pembangunan di kawasan luar bandar.

Beratus-ratus penduduk dilapor terbunuh dalam satu kejadian tanah runtuh di sebuah kampung di Afghanistan pada Mei lalu.

Beberapa pakar menganggarkan seramai 2,700 penduduk terbunuh dan dilaporkan hilang dalam bencana berkenaan.

Satu lagi kejadian tanah runtuh pada 2012 menyebabkan seramai 71 penduduk maut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 7:15 AM