PENDUDUK kampung di Ghazni, Afghanistan membersihkan kawasan kediaman mereka daripada salji tebal yang melanda negara itu sejak tiga hari lalu.  - EPA
PENDUDUK kampung di Ghazni, Afghanistan membersihkan kawasan kediaman mereka daripada salji tebal yang melanda negara itu sejak tiga hari lalu. - EPA
Reuters

Kabul: Pihak berkuasa Afghanistan semalam berusaha menjejaki perkampungan terpencil selepas beberapa kejadian salji runtuh menyebabkan sekurang-kurangnya 119 orang terbunuh di negara itu.

Kebanyakan kawasan di Afghanistan dilitupi salji sedalam dua meter sepanjang hujung minggu lalu, kata pihak berkuasa.

Sekurang-kurangnya 119 orang maut dan 89 cedera dalam kejadian berpunca daripada salji di 22 daripada 34 wilayah negara itu sepanjang tiga hari lalu, kata Menteri Pengurusan Bencana, Wais Ahmad Barmak.

“Ada kemungkinan masih ada mangsa terperangkap di beberapa kawasan terpencil, malangnya kami belum mendapat sebarang maklumat kukuh,” katanya.

Antara tempat paling teruk ialah di Nuristan, wilayah bergunung di sempadan Pakistan.

Seramai 63 maut dan 27 cedera dalam salji runtuh di situ Ahad lalu, kata pegawai di pejabat gabenor wilayah.

Penyelaras bantuan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mark Bowden berkata, kerajaan Afghanistan mengetuai operasi menyelamat tetapi pertubuhan itu bersedia memberi bantuan .

“Memandangkan sukar untuk menjejaki beberapa kawasan yang terpencil, kami mungkin memerlukan masa sebelum benar-benar mengetahui sejauh mana kerosakan dialami,” kata Bowden dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Wais berkata, hampir 200 rumah rosak dan 500 haiwan ternakan dipercayai mati, di seluruh negara itu sejak negara itu dilanda salji tebal.

“Masih banyak jalan terputus dan usaha membukanya semula dijangka mengambil masa beberapa hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 8:12 AM