Beijing: Ribut dan banjir yang melanda beberapa wilayah di selatan China pada minggu lalu menyebabkan 18 orang maut dan empat lagi masih hilang.

Kementerian Hal Ehwal Awam kelmarin berkata, hujan lebat selama 48 jam di beberapa bandar menyebabkan ribuan rumah runtuh dan puluhan ribu penduduk dipindahkan.

“Kematian berpunca akibat ditimpa runtuhan bangunan, tanah runtuh, lemas dan disambar petir.

“Wilayah Hubei yang paling banyak menerima hujan mencatatkan 10 kematian,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Menurutnya, 664,000 penduduk di Hubei terjejas akibat bencana berkenaan.

Ribut itu menyebabkan 527,000 penduduk di wilayah Hunan terjejas.

Seramai lima penduduk dilaporkan maut di daerah Chongqing.

Wilayah Guizhou melaporkan dua kematian manakala seorang maut di wilayah Anhui.

Pihak berkuasa juga bertungkus-lumus untuk menanam hampir 17,000 babi yang mati selepas ladang ternakan babi di wilayah Guangxi ditenggelami air.

Beberapa buah kampung berhampiran ladang berkenaan mula dilanda bau busuk daripada bangkai haiwan itu yang mula meremput. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 5:09 AM