KERAMUDDIN dikatakan melakukan serangan seksual terhadap pemain bola sepak wanita Afghanistan. FOTO AFP
KERAMUDDIN dikatakan melakukan serangan seksual terhadap pemain bola sepak wanita Afghanistan. FOTO AFP
AFP

PASUKAN tindakan khas Afghanistan melakukan serangan pada waktu malam untuk menangkap bekas presiden badan bola sepak negara berkenaan yang menjadi buruan dan dikehendaki kerana melakukan penderaan seksual terhadap pemain wanita.

Keramuddin Karim didapati bersalah oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tahun lalu kerana menyerang beberapa pemain wanita, dengan hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang berpusat di Switzerland.

Pihak berkuasa Afghanistan mengeluarkan waran tangkap terhadap Keramuddin tahun lalu namun beliau masih bebas.

Semalam, pasukan tindakan khas melakukan operasi 'udara dan darat' untuk menangkap Keramuddin di Panjshir bersempadan dengan ibu negara, Kabul iaitu tempat persembunyian beliau.

Bagaimanapun, jurucakap bagi gabenor wilayah berkenaan, Mansur Onabi berkata, operasi berkenaan tidak membabitkan pihak berkuasa tempatan.

"Penduduk tempatan bertempur dengan anggota tindakan khas berkenaan untuk menggagalkan operasi itu," katanya.

Timbalan Gabenor Panjshir, Mohammad Amin Seddiqi mengesahkan operasi itu dilakukan memang semata-mata untuk memberkas Keramuddin.

Lima pemain bola sepak wanita Afghanistan menuduh Keramuddin melakukan serangan seksual di antara 2013 hingga 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2020 @ 12:05 AM