Oleh Asrol Awang


Kuantan: Ketua jurulatih Pahang Zainal Abidin Hassan menjelaskan sudah memaklumkan lebih awal kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung jadual penerbangan sebelum dan selepas pulang dari Mandalay, Myanmar.

Justeru beliau terkejut dengan kenyataan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) bahawa Pahang menipu berhubung penerbangan pulang selepas aksi Piala AFC bertemu Yadanarbon FC, Rabu lalu.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, isu kepulangan skuad Tok Gajah dari Myanmar tidak sepatutnya timbul kerana Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) sudah memaklumkan lebih awal kepada FAM.

Katanya, segala jadual penerbangan termasuk hotel penginapan Pahang sudah diserahkan kepada FAM dan tiada sebarang niat melakukan penipuan mengenai kepulangan Pahang ke tanah air.

“Sebenarnya, tidak timbul sebarang helah memastikan perlawanan Piala FA diadakan Isnin ini. Saya terperanjat apabila PBNJ menyatakan kami menipu sedangkan Pahang tiba di Kuantan pagi ini, selepas menempuh tempoh perjalanan yang panjang.

“Memang benar kami sampai ke tanah air kira-kira jam 10 malam tadi (kelmarin), tapi bermalam di Kuala Lumpur kerana tiada penerbangan terus ke Kuantan. Kami hanya tiba di Lapangan terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan 10 pagi ini,” katanya.

Beliau juga tidak sangka isu penerbangan mencetuskan kontroversi ketika Pahang bersiap mengharungi pusingan kedua Piala FA bertemu Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:23 AM