GAMBAR kanan Jenna Evans menunjukkan cincin pertunangannya. Gambar kiri, imbasan sinar-x menemui cincin Evans di dalam perutnya. FOTO Agensi
GAMBAR kanan Jenna Evans menunjukkan cincin pertunangannya. Gambar kiri, imbasan sinar-x menemui cincin Evans di dalam perutnya. FOTO Agensi
Agensi

Los Angeles: Seorang wanita yang menyangka bermimpi menelan cincin pertunangannya terkejut kerana realitinya dia memang berbuat demikian.

Jenna Evans menyedari kejadian itu selepas sedar cincin berlian 2.4 karat tiada di jari manisnya.

Nbcnews.com melaporkan Evans mencari cincin berkenaan namun gagal menemuinya sebelum teringat dia ada bermimpi menelan barang kemas itu.

Dia bersama tunangnya Bobby Howell bertemu dengan ahli gastroenterologi untuk pemeriksaan lanjut sekiranya cincin itu benar-benar ditelan.

Mengejutkan apabila prosedur endeskopi dijalankan mengesan cincin berkenaan di dalam perutnya.

"Dalam mimpi itu saya menelan cincin pertunangan kerana mahu melindunginya daripada diambil seseorang yang tidak dikenali.

"Saya mencabut dan meletak cincin itu di dalam mulut sebelum menelannya," katanya yang berkongsi pengalaman itu menerusi Facebook.

Menurutnya, sebaik bangun pagi, dia bergegas mengejutkan tunangnya selepas menyedari cincin itu sudah tiada di jarinya.

"Saya melayari enjin pencarian Google dan mendapati kejadian seumpama itu hanya berlaku kepada kanak-kanak.

"Selepas pencarian menemui jalan buntu, saya pergi ke klinik sebelum doktor merujuk saya kepada pakar untuk ujian pengesanan endoskopi," katanya.

Doktor kemudian menemui cincin pertunangan Evans di dalam perut selepas menjalankan imbasan sinar X dan berjaya dikeluarkan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 6:20 AM